Polis Thai rampas hampir 2 juta pil kuda bernilai RM19.8 juta di Narathiwat

Siasatan awal polis Thailand mendapati sindiket pengedaran dadah terbabit berpengaruh dan aktif di sempadan negara itu dengan Malaysia.

NARATHIWAT: Polis Thailand berjaya merampas hampir dua juta pil kuda bernilai 144 juta baht (RM19.8 juta) di Narathiwat yang dipercayai cuba diseludup ke Malaysia dalam satu serbuan awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira 12.30 awal pagi (waktu tempatan), Ketua Polis Wilayah Narathiwat Narin Busaman berkata, polis menemui 43 bungkusan besar yang mengandungi hampir dua juta pil kuda di sebuah gudang.

“Dadah tersebut dipercayai dari wilayah utara Thailand dan disimpan dalam sebuah gudang di Phatthalung di Daerah Mueang, Narathiwat. Namun, ketika serbuan, tiada penghuni di gudang itu.

“Siasatan awal polis mendapati sindiket pengedaran dadah itu berpengaruh dan mempunyai rangkaian jenayah rentas sempadan,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, usaha menjejaki dalang sindiket dadah itu dipergiat.

Polis tidak mendedahkan suspek yang sedang diburu, namun difahamkan sindiket itu aktif di sempadan Thailand-Malaysia.