
Katanya, penubuhan suruhanjaya itu kini dalam peringkat kajian dan penyediaan rang undang-undang.
“Penubuhan suruhanjaya ini akan dilaksanakan setelah diperhalusi dan dipersetujui kerajaan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) yang ingin tahu bilakah kerajaan akan memperkenalkan semula Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen.
Menjawab soalan tambahan Amin mengenai halangan yang menyebabkan penubuhan suruhanjaya itu tidak dapat dilaksanakan segera, Liew berkata, pihaknya memerlukan masa untuk memastikan penubuhan suruhanjaya itu berjalan lancar.
“Saya dan Yang Dipertua Dewan Rakyat (Mohamad Ariff Md Yusof) ada mengadakan beberapa mesyuarat mengenai perkara itu dalam memastikan perjalanannya licin.”
Mac lalu, Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Anwar Ibrahim dilaporkan berharap RUU itu dapat dibentang pada sidang Dewan Rakyat Julai lalu bagi membolehkan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992, diwujudkan semula.
Bagaimanapun, RUU itu tidak dibentangkan Julai lalu.