
Sambil memegang sepanduk tertera “Ajinomoto: Hentikan kajian terhadap haiwan”, mereka mendakwa beberapa eksperimen yang dilakukan baru-baru ini oleh kilang berpangkalan di Jepun itu menggunakan renjatan elektrik ke atas tikus, memaksa ia berlawan satu sama lain, menyuntik dadah, mengeluarkan darah, membunuh dan membedah haiwan berkenaan.
Naib Presiden Kanan Kempen Antarabangsa Peta, Jason Baker berkata, peneraju lain dalam industri makanan dan minuman seperti Coca-Cola, PepsiCo dan Kellogg sudah menghentikan eksperimen ke atas haiwan.
“Membedah anjing, membiarkan arnab kelaparan dan merenjat tikus mengerikan, membazir dan tidak memberi manfaat kepada kesihatan manusia,” katanya dalam satu kenyataan.
“Peta menyeru Ajinomoto menyertai gerakan industri yang semakin berkembang untuk mengharamkan ujian kejam dan gagal ke atas haiwan, sebaliknya menggunakan kaedah moden dan bebas daripada elemen haiwan.”
Beliau berkata, ujian untuk bahan makanan umum tanpa kebimbangan kesan toksik seperti MSG, harus dilakukan kepada manusia yang akan memberi kesan secara langsung.
Ahli Peta, Olivia Charlton yang mengetuai protes itu berkata, demonstrasi tersebut merupakan kali kedua dilakukan terhadap Ajinomoto.
“Bantahan pertama terhadap syarikat induk (ibu pejabat utama) dilakukan di Tokyo pada 1 Nov lalu.
“Kami mengedarkan risalah kepada kakitangan di sana kerana ramai tidak tahu mengenai kekejaman ke atas haiwan yang berlaku dalam syarikat itu.”
Beliau berkata, ujian itu tidak perlu dilakukan kerana MSG Ajinomoto terbukti selamat dimakan.
“Kami akan terus mengadakan protes di lokasi berbeza Ajinomoto sehingga mereka menghentikan ujian ke atas haiwan.”
Ajinomoto (Malaysia) Bhd dalam satu kenyataan mengesahkan mereka tidak menjalankan ujian ke atas haiwan dan ia bukan pihak yang perlu mengulas ujian ke atas haiwan atau atau aktiviti yang didakwa Peta.
“Kumpulan Ajinomoti ialah syarikat multinasional yang sentiasa komited terhadap tanggungjawab sosial.”
Seorang jucucakap cawangan Malaysia berkata, sebarang ujian haiwan yang dijalankan syarikat induknya, Ajinomoto Co Inc, mematuhi peraturan etika dan saintifik antarabangsa, termasuk Undang-undang Perlindungan dan Pengurusan Haiwan di Jepun.