Parlimen Iraq terima peletakan jawatan perdana menteri

Parlimen Iraq terima peletakan jawatan perdana menteri

Parlimen Iraq akan meminta presiden mencalonkan seorang perdana menteri baru.

(Gambar Reuters)
BAGHDAD:
Parlimen Iraq hari ini menerima peletakan jawatan Perdana Menteri Adel Abdul Mahdi, susulan tunjuk perasaan anti-kerajaan yang ganas melanda negara itu selama beberapa minggu .

Keputusan Mahdi meletakkan jawatan pada Jumaat lepas itu menyusuli seruan agamawan Syiah terkemuka Iraq, Ali al-Sistani yang menyeru parlimen pertimbangkan untuk menarik balik sokongan pada pentadbiran Mahdi bagi mengekang keganasan.

“Parlimen Iraq akan meminta presiden mencalonkan seorang perdana menteri baru,” kata pejabat media parlimen dalam kenyataan.

Penggubal undang-undang berkata pentadbiran Mahdi, termasuk perdana menteri, akan bertugas atas kapasiti “caretaker” susulan pengundian hari ini, sehingga kerajaan baru dipilih.

Mengikut perlembagaan, Presiden Barham Salih dijangka meminta blok terbesar di Parlimen mencalonkan perdana menteri baru untuk membentuk kerajaan, langkah yang dijangka akan mencetuskan pergelutan politik selama berminggu-minggu.

Pasukan keselamatan Iraq membunuh hampir 400 orang yang kebanyakanya penunjuk perasaan muda dan tak bersenjata sejak tunjuk perasaan anti-kerajaan meletus pada 1 Okt. Lebih 12 anggota keselamatan juga maut dalam pertempuran.

Peletakan jawatan Mahdi, walaupun disambut baik penunjuk perasaan, dijangka tidak akan menamatkan tunjuk perasaan, yang menyeru sistem politik yang dituduh rasuah dan menyebabkan sebahagian besar penduduk dalam kemiskinan dan tanpa peluang dirombak semula.

Kekacauan ini merupakan cabaran terbesar Iraq sejak militan IS merampas kawasan-kawasan di Iraq dan Syria pada 2014.

Ia menembungkan penunjuk perasaan muda berfahaman Syiah dengan kerajaan yang dikuasai Syiah yang disokong Iran dan dituduh merompak kekayaan minyak Iraq ketika prasarana dan taraf hidup merosot.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.