
Pada 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1760/1810 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1750/1780 pada Jumaat minggu lepas.
Ketua strategi pasaran AxiTrade Stephen Innes berkata, di dalam negara, pasaran mendapat rangsangan daripada kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan sedang mencari jalan untuk menyokong ringgit berikutan harga import tinggi yang membebankan pengguna.
“Tetapi dengan ekonomi bergelut pada kadar kemajuan paling perlahan di tengah-tengah penurunan eksport, ringgit yang lebih kukuh tidak menyokong sektor eksport yang kritikal,” katanya dalam satu nota penyelidikan pagi ini.
Innes bagaimanapun berkata, pengaruh daripada kebimbangan sekarang terhadap perang AS-China yang berlarutan dijangka memberi kesan kepada ringgit dan bukannya faktor dasar dalaman untuk menyokong ringgit.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Unit tempatan kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0533/0581 daripada 3.0550/0579 pada Jumaat minggu lepas dan meningkat berbanding yen kepada 3.8017/8134 daripada 3.8100/8138.
Bagaimanapun, ia susut berbanding pound Britain kepada 5.3916/3985 daripada 5.3807/3859 pada Jumaat dan turun berbanding euro kepada 4.6015/6075 daripada 4.5938/5987 sebelumnya.