
Muhammed Yusoff Rawther bagaimanapun enggan memberikan butiran dakwaannya, mengatakan ia sebahagian daripada akuan berkanunnya yang masih belum dimaklumkan.
Yusoff, cucu kepada pembela pengguna Pulau Pinang yang terkenal, SM Mohamed Idris, sebelum ini menuduh Farhash, yang juga setiausaha politik Anwar Ibrahim, menyerangnya pada Mei, di pejabat presiden PKR itu di Petaling Jaya.
Dia berkata satu laporan polis dibuat selepas kejadian itu, dan pada September, dia memfailkan saman terhadap Farhash dan seorang pembantu media Anwar.
Tetapi pada satu sidang media hari ini yang disiarkan di Facebook, dia berkata tiada tindakan oleh pihak berkuasa walaupun dia memberikan laporan perubatan yang mengesahkan kecederaan yang dialaminya.
“Nyatalah kepada saya semua cakap-cakap tentang keadilan hanya berpura-pura saja, dan gimik politik. Saya amat kecewa dengan keadaan yang sudah berlaku ini. Saya mesti tanya, adakah tiada keadilan untuk orang kecil di Malaysia?” katanya dalam kenyataan.
Yusoff hari ini berkata dia percaya kegagalan untuk bertindak itu berkaitan dengan satu kejadian membabitkan seorang ahli politik kanan yang berlaku pada Oktober tahun lepas.
Dia berkata dia mempunyai sebab untuk percaya “keengganannya untuk bekerjasama” dengan ahli politik “akhirnya membawa kepada serangan di pejabat itu”.
FMT tidak menyiarkan nama ahli politik itu sementara menunggu respon daripada pejabatnya.