‘Kamu bukan suara kami’, bapa pertahan Yusoff isu tuduhan ‘perbuatan keji’ ahli politik

‘Kamu bukan suara kami’, bapa pertahan Yusoff isu tuduhan ‘perbuatan keji’ ahli politik

Mohideen Abdul tidak dalam apa jua cara mewakili pandangan keluarga Rawther, kata Muhammed Ali Mohd Idris.

Muhammed Yusoff Rawther (kiri) dan Mohideen Abdul Kadeer.
PETALING JAYA:
Bapa kepada Muhammed Yusoff Rawther, yang mencadangkan seorang ahli politik kanan melakukan jenayah yang digambarkan sebagai “perbuatan keji” dan “tidak bermoral” terhadapnya, tampil mempertahankan anaknya daripada kritikan datuk saudara.

Muhammed Ali Mohd Idris, anak kepada pembela pengguna Pulau Pinang terkenal, SM Mohamed Idris, mengingatkan Mohideen Abdul Kader bahawa beliau sama sekali tidak terlibat dalam kehidupan Yusoff dan oleh itu sama sekali tidak sedar apa yang sudah dan sedang berlaku.

“Mohideen hanyalah adik bapa saya, dan tidak dalam apa jua cara mewakili pandangan keluarga saya, dan juga tidak bercakap bagi pihak keluarga saya.

“Oleh itu, beliau tidak boleh membuat sebarang kenyataan mengenai anak saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keluarga Ali tidak mempercayai dan menafikan kenyataan Mohideen, mengatakan kenyataan dan dakwaan beliau agak keterlaluan dan merupakan salah anggapan.

Menjawab dakwaan pihak keluarga tidak diberitahu tentang pengalaman Rawther itu, Ali menjelaskan mereka sebenarnya dimaklumkan oleh Yusoff tentang kejadian itu sama ada pada hari kejadian atau tidak lama selepas itu.

“Bagaimanapun, saya amat berdukacita Mohideen tidak menghubungi kami atau mendapatkan pengesahan daripada saya atau keluarga saya mengenai apa yang sebenarnya berlaku, sebelum mengeluarkan kenyataannya yang berunsur fitnah terhadap anak saya,” katanya.

Ali berharap Mohideen akan memikirkan kembali apa yang sudah berlaku dan mendapatkan kebenaran dan fakta-faktanya sebelum bercakap kepada media tanpa mendapat pengesahan.

“Selaku ketua keluarga, saya juga ingin menyatakan keluarga saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan lanjut atau memberikan sebarang ulasan mengenai perkara ini.

“Sebarang maklumat akan disampaikan menerusi saluran yang sepatutnya atau di mahkamah.”

Yusoff, 26, mencadangkan seorang ahli politik kanan melakukan jenayah yang digambarkan sebagai “perbuatan keji, teruk, tersembunyi dan berbahaya, dan tidak bermoral” terhadapnya, pada satu sidang media mengkritik pihak berkuasa kerana tidak bertindak atas laporan polis yang dibuatnya terhadap setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sebelum ini.

Dia bagaimanapun enggan memberikan butiran dakwaannya, mengatakan ia sebahagian daripada akuan berkanunnya yang masih belum dimaklumkan.

Yusoff sebelum ini menuduh Farhash menyerangnya pada Mei, di pejabat presiden PKR itu di Petaling Jaya.

Anwar mengaitkan kenyataan Rawther itu dengan peralihan kuasa perdana menteri, percaya ia muslihat untuk menjatuhkan imej menjelang proses itu dan kongres nasional tahunan PKR.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tanpa asas tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Mohideen ketika mengulas akuan berkanun yang dikatakan dibuat oleh Rawther percaya dia dimanipulasi oleh beberapa ahli politik untuk kepentingan peribadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.