Pahang sudah 30 tahun tidak naik tarif air, kata Najib

Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Jangan kaitkan Pahang dengan janji “rakyat senang” Pakatan Harapan, kata bekas perdana menteri Najib Razak hari ini, mengulas persetujuan semua negeri untuk selaraskan kadar tarif air.

Menurutnya, kos air di negerinya itu tidak naik dalam 30 tahun lalu.

“Kita tengok pada kadarnya, sebab dalam kes Pahang, kos air sudah tidak naik dalam 30 tahun,” katanya kepada pemberita di Perhimpunan Agung Umno 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

“Tetapi Pakatan Harapan buat janji lain dahulu. Mereka umum kalau PH menang, rakyat senang.”

Semua negeri secara dasarnya bersetuju melaksanakan pelarasan kadar tarif air yang dijangka dimulakan tahun depan, menurut laporan Bernama.

Cadangan pelaksanaan Mekanisme Penetapan Tarif Air itu melibatkan kenaikan antara 0.06 sen hingga 0.71 sen bagi setiap 1,000 liter.

Rundingan lanjut masih sedang diadakan sebelum kementerian membuat keputusan muktamad.

“Itulah saya kata, tahun hadapan banyak yang akan naik, salah satu daripadanya adalah kos air akan naik,” kata Najib.

“Ini maknanya, yang dahulu dia buat heboh mengenai air percuma, nampaknya hari ini lakukan sebaliknya,” katanya.