
Beliau berkata laporan berita mengatakan masih ada 4 isu besar yang belum diselesaikan jawatankuasa itu bukan hanya mengecewakan tetapi juga menunjukkan tiada apa yang penting daripada mesyuarat-mesyuaratnya selepas hampir 1 setengah tahun.
Beliau berkata rakyat Sabah dan Sarawak menjangkakan jawatankuasa itu akan tumpu pada pelaksanaan hak kedua-dua negeri, terutama yang tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya hak hasil.
Ia termasuk pemilikan minyak dan 20% royalti, yang dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14, tambahnya.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, yang juga ahli jawatankuasa teknikal itu, baru-baru ini berkata hanya 4 isu belum selesai dalam semakan pelaksanaan MA63 oleh jawatankuasa khas itu.
Ianya isu royalti minyak dan bayaran wang petroleum; minyak galian dan lapangan minyak; Akta Laut Wilayah; dan hak negeri ke atas pentas benua.
Jeffrey, yang merupakan presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, kerajaan negeri harus berhenti menyusur mengelilingi MA63 dan pura-pura menangani isu itu dan membuat janji-janji kosong.
“Selepas 56 tahun, apakah manfaat Sabah dan Sarawak menganggotai Malaysia? Ini dipersoalkan rakyat Sabah dan Sarawak secara terbuka dan mereka semakin tidak berpuas hati setiap hari.
“Sabah dan Sarawak kerugian lebih banyak daripada hasilnya. Banyak perkara keluar dari Sabah – hasil, sumber asli, peluang pekerjaan.
“Jika itu situasinya di Tanah Melayu, apakah perasaan mereka?”
Sekarang, Jeffrey berkata, daripada memulangkan hak pemilikan minyak dan gas kepada Sabah dan Sarawak, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penjualan saham Petronas kepada negeri-negeri Borneo.
Beliau mengulangi bantahannya terhadap cadangan itu, mengatakan minyak dan gas di Sabah dan Sarawak milik mereka dan kerajaan persekutuan tidak boleh jual sesuatu yang bukan miliknya.
“Petronas patut jadi milik bersama semua negeri-negeri pengeluar minyak dan kerajaan persekutuan, bukan kerajaan persekutuan sahaja,” katanya.
Jeffrey berkata Sabah dan Sarawak, selaku penyumbang terbesar, harus memiliki majoriti saham di Petronas.
Beliau berkata tidak wajar sekiranya kerajaan Sabah menerima tawaran Petronas oleh Mahathir itu dan membuat bayaran untuk saham-saham itu.