
Pengurus pasukan, Adly Shah Ahmad Tah berkata, pemain import kelahiran Brazil itu mengikat kontrak selama setahun dan akan mula menjalani latihan bersama skuad The Bos Gaurus pada 28 Dis ini.
Katanya, pemilihan De Paula dibuat selepas beberapa perbincangan bersama Ketua Jurulatih Mehmed Durakovic.
“Antara sebab kita pilih dia berdasarkan faktor kualiti dan pengalamannya yang sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa pasukan Liga Malaysia seperti Selangor, PDRM FA dan Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Sebelum ini, De Paula, 33, pernah membantu pasukan Selangor menjuarai Piala Malaysia pada 2015 selain menjadi antara tonggak yang membawa Kuala Lumpur menjuarai saingan Liga Premier Malaysia 2017.
Selain itu, Adly berkata pada ketika ini skuad The Bos Gaurus dalam perancangan untuk mengikat seorang lagi pemain import untuk posisi pertahanan bagi menggantikan tempat pemain kelahiran Lubnan, Hussein El Dor yang ditamatkan kontrak.
“Setakat ini, kita sudah ada beberapa nama cuma belum boleh didedahkan kepada umum. Apa yang boleh saya beritahu, semua pemain ini tidak pernah beraksi dalam kancah Liga Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Perak juga mengintai 2 tonggak tempatan yang mempunyai reputasi tinggi untuk memperkuatkan barisan pemain sedia ada.
“Kedua-dua mereka merupakan pemain yang berpengalaman dan dikenali oleh penyokong. Kita telah buat perbincangan dengan mereka dan jika berjalan lancar mereka akan sertai Perak dalam masa terdekat,” katanya.