Trump sekat gerakan pro-Palestin dengan perintah eksekutif

Trump sekat gerakan pro-Palestin dengan perintah eksekutif

Perintah itu bagi melarang pembiayaan persekutuan kepada kolej dan universiti yang membenarkan anti-Semitisme atau anti-Yahudi.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menunjukkan perintah eksekutif yang ditandatanganinya. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semalam menandatangani perintah eksekutif untuk melarang pembiayaan persekutuan kepada kolej dan universiti yang membenarkan anti-Semitisme atau anti-Yahudi, tetapi langkah itu mendapat beberapa kritikan kerana berpotensi membataskan kebebasan bersuara.

Perintah itu akan meluaskan perlindungan terhadap diskriminasi di bawah Akta Hak Sivil 1964 kepada mereka yang menjadi sasaran anti-Semitisme di kampus kolej.

“Ini adalah mesej kami kepada universiti, jika anda ingin menerima pembiayaan besar daripada persekutuan setiap tahun, anda mesti menolak anti-Semitisme. Ia sangat mudah,” kata Trump semasa majlis sambutan Hanukkah di White House.

Perkara 6 Akta Hak Sivil melarang diskriminasi berdasarkan bangsa, warna, dan negara asal dalam program dan aktiviti yang menerima bantuan kewangan daripada persekutuan.

“Tindakan ini menjelaskan bahawa Perkara 6 Akta Hak Sivil, yang melarang pembiayaan persekutuan kepada universiti dan institusi lain yang terlibat dengan diskriminasi, ia terpakai pada semua institusi yang mengamalkan anti-Semitisme,” kata Trump.

J Street, sebuah kumpulan Yahudi-Amerika yang liberal, mengkritik perintah itu.

“Perintah eksekutif ini, tidak kelihatan sangat seperti hendak memerangi anti-Semitisme, sebaliknya lebih kepada hendak membataskan kebebasan bersuara dan kritikan terhadap Israel di kampus,” katanya dalam satu kenyataan.

Satu lagi organisasi yahudi, Anti-Defamation League, mengalu-alukan perintah itu.

“Dalam keadaan meningkatnya anti-Semitisme, perintah eksekutif ini memberi panduan berharga mengenai anti-Semitisme, ia memberikan penguatkuasa dan pegawai kampus alat tambahan yang penting untuk membantu mengenal dan melawan kebencian ini,” kata Ketua Eksekutif Jonathan Greenblatt.

“Ia juga menguatkan lagi perlindungan terhadap orang Yahudi di bawah Perkara VI tanpa melanggar hak Pindaan Pertama,” katanya dalam kenyataan.

Gerakan pro-Palestin, Boycott, Divestment and Sanctions (BD) yang dilancarkan ke atas dasar Israel terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza mendapat sokongan sebahagian pelajar universiti kebelakangan ini.

Gerakan itu bagaimanapun menerima teguran kedua-dua pihak di Kongres AS dan banyak negeri meluluskan langkah-langkah anti-BDS.

Beberapa pengkritik berpendapat bahawa menyertai boikot adalah dilindungi Perlembagaan AS di bawah hak kebebasan bersuara, namun mereka yang mengeluarkan kritikan terhadap dasar Israel selepas ini boleh ditahan atas alasan memerangi anti-Semitisme.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.