Wanita tuntut Samy Vellu, anak bayar nafkah bulanan RM25,000

Wanita tuntut Samy Vellu, anak bayar nafkah bulanan RM25,000

FMT difahamkan Vell Paari turut memfailkan satu afidavit yang mendakwa E Meeriam Rosaline, 59, tiada hak untuk menuntut nafkah.

Bekas presiden MIC, S Samy Vellu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang wanita yang mendakwa dirinya teman S Samy Vellu memfailkan perintah interim di Mahkamah Tinggi untuk diberikan akses tanpa syarat ke atas bekas presiden MIC itu.

E Meeriam Rosaline yang menamakan Samy Vellu dan anaknya, Vell Paari sebagai responden, turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah untuk membayar nafkah RM25,000 kepadanya setiap bulan sementara menunggu keputusan bagi saman utamanya.

Wanita itu mendakwa nafkah dan manfaat lain yang dibayar kepadanya sudah dihentikan.

Permohonan perintah interim yang dilihat FMT itu dijadualkan didengar di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Hashim Hamzah di Ipoh hari ini.

FMT difahamkan Vell Paari turut memfailkan satu afidavit yang mendakwa Meeriam, 59, tiada hak menuntut nafkah.

Peguam RSN Rayer dan Ramesh Sivakumar akan mewakili Meeriam yang kini menetap di Ipoh.

Dalam saman yang difailkan Ogos lalu, Meeriam memohon perisytiharan daripada mahkamah untuk diiktiraf dan diterima sebagai ahli keluarga Samy Vellu.

Beliau juga mahu menghubungi dan melawat Samy Vellu tanpa syarat daripada ahli keluarga lain, termasuk Vell Paari.

Katanya, Vell Paari mengambil alih kewangan Samy Vellu sejak 2017 dan langsung tidak membayar nafkah kepadanya.

Meeriam dalam afidavitnya untuk menyokong saman itu berkata, beliau mempunyai hubungan separa pasangan dengan Samy Vellu sejak 1981 dan ada dokumen untuk menyokong dakwaan berkenaan.

Isnin lalu, FMT melaporkan Vell Paari memfailkan saman pemula untuk memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bapanya tidak sihat dari segi mental untuk membela diri dalam 2 kes undang-undang terhadapnya.

Vell Paari berkata, hasil diagnosis bapanya yang merupakan anggota Kabinet dari 1979 hingga 2008, menunjukkan beliau menghidap demensia akibat penyakit Alzheimer 2 tahun lalu.

“Kerana dia mengalami demensia, ingatan ayah saya lemah dan dia ada masalah untuk mengingati kejadian tertentu. Kesannya, dia perlu dibantu mengurus hal peribadi dan kewangannya,” katanya.

Vell Paari berkata, keadaan bapanya tertakluk di bawah Akta Kesihatan Mental 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.