Dewan Negara lulus sebulat suara RUU Perbekalan 2020

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara malam tadi meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 (Belanjawan 2020) yang memperuntukkan sejumlah RM297 bilion untuk perbelanjaan bagi tahun berkenaan.

Speaker Dewan Negara Abdul Halim Abdul Samad mengumumkan keputusan itu kira-kira 10.10 malam.

RUU berkenaan diluluskan sebulat suara anggota Dewan Negara selepas dibahaskan selama 4 hari bermula Isnin lepas (9 Dis) sebelum digulung oleh setiap kementerian selama 2 hari berakhir malam ini.

Terdahulu, RUU Perbekalan 2020 dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah untuk bacaan kali ke-3 dan disokong Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.

Amiruddin ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2020 itu berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka akan mengumumkan kerangka lebih lanjut mengenai inisiatif #WanitaKerja ([email protected]).

Beliau berkata inisiatif itu melibatkan pengambilan semula pekerja wanita yang bercuti melebihi setahun untuk menjaga anak dan bakal memanfaatkan golongan wanita yang menghadapi kesukaran untuk kembali bekerja selepas mengambil cuti bersalin melebihi tempoh ditetapkan.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.