Instagram bakal beri amaran mengenai gambar, video palsu

Instagram bakal beri amaran mengenai gambar, video palsu

Kandungan yang dianggap palsu akan diabaikan oleh alat carian atau cadangan di Instagram dan ditunjukkan dengan label amaran jika pengguna mencarinya.

Usaha berterusan diambil Instagram untuk melawan maklumat salah di platform media sosial itu.
CALIFORNIA:
Instagram semalam bergerak ke arah global dalam memerangi maklumat salah, dengan mengadakan kerjasama bersama pemeriksa fakta seluruh dunia bagi mendedahkan penipuan dalam gambar atau video yang dikongsikan pengguna.

Platform media sosial milik Facebook itu melancarkan program pemeriksaan fakta di Amerika Syarikat pada awal tahun ini.

“Perkembangan hari ini merupakan langkah penting dalam usaha berterusan kami untuk melawan maklumat salah di Instagram,” kata perkhidmatan itu menerusi hantaran dalam talian.

“Kesilapan maklumat pada gambar dan video semakin menjadi cabaran di seluruh industri kami, dan ia sesuatu yang pasukan kami tumpukan.”

Instagram mula bekerjasama dengan pihak ketiga di Amerika Syarikat untuk membantu mengenal pasti, mengkaji dan melabelkan muat naik gambar atau video palsu.

Kandungan yang dianggap palsu akan diabaikan oleh alat carian atau cadangan di Instagram dan ditunjukkan dengan label amaran jika pengguna mencarinya.

“Apabila kandungan telah dinilai sebagai palsu atau sebahagiannya palsu oleh pemeriksa fakta, kami akan mengurangkan penyebarannya,” kata Instagram.

“Di samping itu, ia akan dilabelkan supaya pengguna boleh membuat keputusan sendiri untuk membaca, mempercayai dan mengongsikannya.”

Sebaik sahaja maklumat pada gambar atau video yang dimuat naik didapati tidak benar, perisian mencari di seluruh platform Instagram akan merekodkannya sebagai palsu.

“Kami menggunakan teknologi padanan imej untuk mencari contoh lanjut mengenai kandungan ini dan menggunakan label, bagi membantu mengurangkan penyebaran maklumat salah,” kata Instagram.

“Di samping itu, jika ada yang dinilai palsu atau sebahagiannya palsu di Facebook, bermula hari ini kami secara automatik akan melabelkan kandungan tersebut jika ia dipaparkan di Instagram (dan begitu juga sebaliknya).”

Instagram juga akan mengembangkan ciri anti-buli yang dibangunkan awal tahun ini.

Perisian kecerdasan buatan akan mengimbas kapsyen serta komen pengguna dan memaklumkan mereka jika ia boleh dianggap menyinggung perasaan.

“Kami mendapati cara ini boleh menggalakkan pengguna untuk menimbang semula kata-kata yang hendak dikeluarkan mereka,” kata Instagram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.