Kertas tuduhan terhadap Azmin, Haziq sudah ada, dakwa Lokman

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendakwa Jabatan Peguam Negara sudah ada kertas pertuduhan terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz menurut sumbernya.

“Sahabat kita dari Jabatan Peguam Negara melihat dengan mata dia sendiri, kertas pertuduhan ke Azmin Ali bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan kertas pertuduhan terhadap Haziq pula bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan,” katanya di Facebook.

Seksyen 377B berkenaaan kesalahan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii, manakala 337D pula berkenaan kesalahan melanggar kesopanan.

Lokman bersiaran di Facebook di depan Jabatan Peguam Negara, Putrajaya sebelum menyerahkan memorandum kepada wakil jabatan itu hari ini.

Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengakui terbabit dalam suati video seks sejenis dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi dinafikan Azmin yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Lokman pada September mendakwa polis memaklumkan kertas siasatan membabitkan pelaku dan penyebar video seks sejenis melibatkan individu mirip Azmin sudah siap untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada Julai berkata, analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video seks sejenis itu adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri itu.