Kementerian Maszlee tak boleh lepas tanggungjawab isu kertas peperiksaan UniMAP, kata Kit Siang

Lim Kit Siang berkata Kementerian Pendidikan yang diketuai Maszlee Malik juga mesti bertanggungjawab ke atas kertas peperiksaan kontroversi yang disediakan UniMAP.

PETALING JAYA: Pemimpin DAP, Lim Kit Siang berkata Kementerian Pendidikan mesti bertanggungjawab ke atas kertas peperiksaan kontroversi yang disediakan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), walaupun universiti awam diberi autonomi.

“Ia tak boleh melepaskan tanggungjawab sekiranya kursus hubungan etnik di universiti dan institusi membuatkan salah faham, kecurigaan dan kebencian antara kaum dan antara agama bertambah buruk daripapada mempromosikan toleransi, kepercayaan dan kefahaman di Malaysia yang plural,” kata Lim.

Kenyataannya menyusuli tuduhan-tuduhan daripada pemimpin DAP bahawa Menteri Pendidikan Maszlee Malik gagal mereformasikan universiti-universiti awam.

Maszlee meminta mereka merujuk kad laporan “pencapaian” kementeriannya.

Beberapa pihak marah kerana kertas peperiksaan UniMAP bagi Kursus Hubungan Etnik yang diadakan pada 29 Dis, yang memuji penceramah kontroversi yang dikehendaki, Zakir Naik.

Kertas peperiksaan itu juga dikatakan mengandungi soalan yang dilihat menghina rakyat berkulit gelap, dan soalan yang nampak seperti mengejek pengkritik langkah kerajaan memasukkan pengenalan Jawi dalam silibus sekolah.

UniMAP sudah mengumumkan satu siasatan dalaman.

Lim menyeru satu siasatan penuh ke atas sama ada institusi pendidikan mempromosikan atau melemahkan hubungan kaum.

Beliau berkata soalan-soalan dalam kertas UniMAP “tidak sensitif pada kaum-kaum, bahasa-bahasa dan budaya-budaya yang pelbagai di Malaysia.”