
Pada 6 petang, ringgit disebut pada 4.1020/1060 berbanding dolar AS daripada 4.1005/1035 ketika Jumaat minggu lepas.
Ketua pakar strategi pasaran FXTM, Hussein Sayed berkata, situasi di Iran menjejaskan sedikit sentimen kukuh terhadap ekonomi tahun ini, selepas ketegangan perdagangan AS-China reda dan pelabur lebih jelas mengenai Brexit.
“Serangan AS sehingga membunuh komander tentera Iran di Iraq mungkin tidak dapat menghentikan perang seperti dakwaan presiden Donald Trump, sebaliknya tindakan ini boleh mencetuskan konflik baru di Timur Tengah dijangka memberi kesan kepada ekonomi global.
“Menariknya kami mendapati segelintir pelabur membeli ‘call option’ hampir AS$100 untuk melindungi atau meraih untung daripada kenaikan harga besar-besaran.
“Mereka menjangka Iran akan menyasarkan perkapalan di Selat Hormuz yang berperanan sebagai aliran bekalan minyak kelima dunia,” katanya.
Hussein berkata, sekiranya selat ini disekat, walaupun bagi jangka pendek, ia akan menyebabkan harga melonjak ketara.
“Pada harga AS$70 hingga AS$80 setong, ekonomi global dijangkakan tidak terlalu terkesan daripada kenaikan ini, namun jika harga semakin menghampiri AS$100, maka akan wujud akibat buruk yang akan mencetuskan jualan besar-besaran dalam pasaran ekuiti,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.
Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0396/0428 daripada 3.0363/0401 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas serta lemah berbanding yen Jepun kepada 3.7989/8033 daripada 3.7936/7974.
Ringgit juga turun berbanding pound Britain kepada 5.3908/3977 daripada 5.3577/3637 dan rendah berbanding euro kepada 4.5910/5971 daripada 4.5675/5717.