Syarikat penerbangan elak ruang udara Iran-Iraq selepas kem AS diserang

Syarikat penerbangan elak ruang udara Iran-Iraq selepas kem AS diserang

Syarikat penerbangan mengambil langkah mengehadkan ancaman terhadap pesawat masing-masing selepas tragedi Malaysia Airlines MH17.

Singapore Airlines mengubah haluan semua penerbangannya daripada ruang udara Iran. (Gambar Reuters)
WASHINGTON:
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat melarang syarikat-syarikat penerbangan negara itu beroperasi di ruang udara Iraq, Iran, Teluk Oman dan perairan antara Iran dan Arab Saudi selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas tentera pimpinan AS di Iraq.

Tehran melancarkan berbelas peluru berpandu dari wilayah Iran terhadap sekurang-kurangnya 2 pangkalan tentera Iraq yang menempatkan kakitangan pakatan pimpinan AS, kata tentera AS semalam.

FAA berkata ia mengeluarkan larangan ruang udara itu kerana aktiviti ketenteraan dan ketegangan politik di Timur Tengah, “yang merisikokan operasi penerbangan awam AS.”

Beberapa syarikat penerbangan bukan AS melintasi beberapa bahagian Iraq dan Iran ketika ini, menurut data FlightRadar24.

Larangan FAA itu tidak memberi kesan langsung pada mereka, tetapi syarikat penerbangan asing dan pengawalselia negara masing-masing lazimnya mempertimbangkan nasihat AS.

Singapore Airlines Ltd berkata semua penerbangannya akan diubah haluan dari ruang udara Iran selepas serangan terhadap pangkalan AS di Iraq.

Syarikat penerbangan mengambil langkah mengehadkan ancaman terhadap pesawat masing-masing selepas Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh peluru berpandu ketika melintasi Ukraine pada 2014, meragut nyawa 298 penumpang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.