Putrajaya 2 kali terangkan isu penubuhan Jakim kepada G25, kata Fuziah

Putrajaya 2 kali terangkan isu penubuhan Jakim kepada G25, kata Fuziah

Fuziah Salleh berkata, kerajaan menerangkan secara terperinci penubuhan Jakim kepada G25 sekitar Julai 2018 dan kira-kira 2 bulan lalu.

Fuziah Salleh mengulangi komitmen kerajaan PH mempertahankan Perlembagaan, termasuk Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan memperkenalkan konsep Rahmatan Lil Alamin dalam mewujudkan kehidupan harmoni di negara ini.
KUANTAN:
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, isu penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah diterangkan secara terperinci kepada kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25.

Beliau berkata, pertemuan dengan G25 berlangsung pada awal penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekitar Julai 2018.

Katanya, beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa sekali lagi menemui wakil G25 kira-kira 2 bulan lalu berhubung perkara sama.

“Kita sudahpun berjumpa dan menerangkan jawapan kepada setiap persoalan mereka, tetapi mereka terus-menerus dengan pandangan sendiri walaupun perkara yang dibangkitkan sudah dibincangkan.

“Sebenarnya tiada isu dalam perkara yang mereka utarakan. Saya kira G25 perlu lebih memahami tentang penubuhan Jakim dan sebagainya…ada banyak silap persepi yang harus ditangani dan kita telah cuba menerangkannya,” katanya selepas mengedarkan limau mandarin kepada pengunjung sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kuantan itu berkata, penglibatan bersama perlu diperkasakan untuk G25 memahami isu berkenaan menerusi perspektif yang berbeza daripada pandangan mereka.

Semalam, G25 dilaporkan berkata, penubuhan Jakim dan Majlis Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) tidak mengikut Perlembagaan kerana tiada peruntukan untuk agensi Islam itu ditubuhkan di peringkat nasional.

Fuziah mengulangi komitmen kerajaan PH mempertahankan Perlembagaan, termasuk Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan memperkenalkan konsep Rahmatan Lil Alamin (rahmat untuk semua) dalam mewujudkan kehidupan harmoni di kalangan rakyat pelbagai agama dan bangsa di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.