Dibayar sehingga RM50,000 kutip wang untuk Isa, kata bekas pembantu

Bekas pengerusi Felda, Isa Samad.

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu Isa Samad memberitahu Mahkamah Tinggi bekas majikannya itu menawarkan antara RM10,000 hingga RM50,000 selepas dia mengutip wang tunai bagi pihak bekas pengerusi Felda itu.

Muhammad Zahid Md Arip, yang bekerja sebagai pegawai khas Isa dari 2011 hingga 2016, berkata dia mengutip wang tunai sebanyak 9 kali daripada Ikhwan Zaidel, yang merupakan pengarah di Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, antara Jul 2014 hingga Dis 2015, di pelbagai lokasi.

“Tan Sri (Isa) memanggil saya untuk berjumpa di pejabatnya beberapa kali selepas saya serah wang dari Ikhwan kepadanya.

“Dia beritahu saya ‘Nah! Ambik sikit’ dan berikan saya antara RM10,000 hingga RM20,000. Kadang-kadang dia berikan saya sehingga RM50,000 walaupun saya tidak memintanya,” katanya dalam kenyataan kesaksiannya.

Zahid memberitahu mahkamah dia diperkenalkan kepada Ikhwan pada September 2013 melalui rakannya, Azizi Abd Wahab.

“Azizi bawa Ikhwan berjumpa saya di pejabat saya di Felda kerana Ikhwan mahu menjual Merdeka Palace and Suites Hotel di Kuching.

“Saya beritahu mereka saya akan serah cadangan itu kepada Tan Sri,” katanya.

Zahid kemudian dimaklumkan oleh Ikhwan pada Mac 2014 bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), Mohd Zaid Abdul Jalil memutuskan untuk tidak meneruskan pembelian hotel itu.

Bagaimanapun, Ikhwan mahu cuba dan menjual hotel itu melalui saluran lain.

Zahid memberitahu mahkamah, pada satu ketika di bulan yang sama, Isa, selepas menerima satu panggilan telefon, memaklumkan kepadanya perdana menteri ketika itu meminta Felda menimbang semula keputusan untuk tidak membeli hotel tersebut.

“Saya terkejut mendengarnya. Perdana menteri yang dimaksudkan Tan Sri ialah Najib Razak,” kata Zahid.

Zahid berkata Zaid juga memberitahu perkara yang sama mengenai menimbang semula pembelian hotel tersebut.

“Kata-kata tepat Zaid adalah ‘Nak buat macam mana, ini arahan PM, kita kena buat lah’,” katanya.

Zahid juga berkata Isa memberi arahan kepadanya untuk menghubungi Ikhwan dan “kirim salam”.

“Ini bukan ‘salam’ biasa kerana Tan Sri meminta saya menghubungi Ikhwan untuk mendapatkan pembiayaan politik,” katanya.

Terdahulu, Ikhwan memberitahu mahkamah dia membayar sebanyak RM3.09 juta kepada Isa, melalui Zahid selepas Isa menghantar “salam” kepadanya.

Perbicaraan diteruskan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Isa menghadapi 1 pertuduhan pecah amanah dan 9 pertuduhan menerima rasuah atas dakwaan menerima lebih RM3 juta di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Pertuduhan itu memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan, manakala pertuduhan rasuah memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya 5 kali jumlah suapan.