
Tetapi FMT temui sekumpulan atlet-atlet matematik sekolah rendah yang dipandang tinggi orang ramai, dan bukan hanya kerana cerdik pandai ini membantu rakan-rakan sekelas dengan kerja rumah mereka.
Mereka baru sahaja membawa pulang pingat dengan kepantasan mencongak, dan dianggap jaguh dunia pertandingan matematik.
Kanak-kanak ini melatih mental selama berjam-jam, usaha yang membawa kepada pelbagai pingat daripada pertandingan kebangsaan dan antarabangsa.

Apabila Brandon Choo berusia 2 tahun, ibunya memainkan video mendarab di YouTube. Dia percaya inilah yang menarik minatnya pada matematik.
Choo, dari SJK(C) Jalan Davidson di Kuala Lumpur pandai matematik. Sangat pandai.
Dia dan 5 rakannya meraih pingat emas untuk Malaysia di World International Mathematical Olympiad (WIMO) di Jepun minggu lepas.
Rakan sepasukan, Alvis Leow, Chai Feng Ze, Hoo Jordan, Hoo Xinyi dari SJK(C) Jalan Davidson, manakala Tang Yi Xuan dari SJK(C) Serdang Baru 2.
Enam orang itu, termasuk 3 yang lain – Yeoh Yi Shuen dari SJK(C) Kwang Hwa, Teoh Zhou Zhe dari SJK(C) Min Terk, dan Cheah Jor Wii dari SJK(C) Perempuan China – mengharumkan nama negara di Tokyo.
Yeoh dan Teoh diangkat sebagai juara dunia dalam kategori usia masing-masing, manakala Cheah menang pingat perak.

Secara keseluruhannya, mereka memenangi lebih 100 pingat dan piala daripada pelbagai pertandingan matematik tempatan dan antarabangsa.
Kejayaan seperti itu menuntut kerja keras, jadi kanak-kanak sekolah rendah ini melaburkan banyak masa mereka bergelut dengan latihan matematik peringkat tinggi.
Untungnya bagi mereka, matematik bererti keseronokan. Jadi agak mengejutkan apabila tiada seorang pun mahu jadi guru matematik.
Jaguh-jaguh matematik ini selalunya dengan mudah dapat markah penuh dalam peperiksaan sekolah dan merasakan matematik yang diajar di sekolah membosankan dan tidak cukup mencabar.
Feng Ze, Choo, Leow, dan Xinyi di Tahun 5 tahun ini, tetapi mereka membuat latihan matematik bagi Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5.

“Saya suka selesaikan masalah, saya anggapnya sebagai cabaran,” kata Chai.
“Saya buat matematik bila saya mahu, tetapi saya juga suka bermain di luar, menyanyi dan berucap,” kata Xinyi.
Semua kanak-kanak ini, yang berlatih di Academy TeamMathics, berkawan dan banyak meluangkan masa bersama menyertai lebih 20 pertandingan setahun di dalam dan luar negara.
Mereka sudah menetapkan sasaran untuk menjadi juara dunia di International Math Olympiad tahunan.
Ia pertandingan matematik terbesar untuk pelajar, dan hanya pelajar dari sekolah menengah terbaik dari setiap negara layak mewakili negara masing-masing.
Secara asasnya, dalam pertandingan matematik Olympiad, pelajar diberi masalah untuk diselesaikan. Soalan paling mudah mengambil masa sekitar 20 saat untuk diselesaikan dan paling sukar sekurang-kurangnya 15 minit.
Walaupun anak-anak kecil ini juara, ada kalanya mereka berdepan masalah yang tidak dapat diselesaikan.
“Bila saya tak dapat selesaikan satu masalah, saya akan cuba dan cuba lagi,” kata Leow.
Xingyi pula sedih sekiranya semua congakannya salah.
“Saya akan periksa di mana silap saya, dan kalau saya tak temui kesilapan itu, saya akan buat balik dari awal.”
Choo berkata, “Saya berlatih sebanyak mungkin, tetapi kadang-kadang jadi bosan dan saya mahu bersukan.”
Matematik mengalir dalam tubuh kanak-kanak ini, walaupun selepas letih belajar di sekolah.
“Kadang-kadang sebelum saya tidur, saya bayangkan suatu masalah matematik dan saya akan cuba selesaikannya,” kata Tang, yang bercermin mata.
Rakan-rakannya mengangguk, barangkali bersetuju dengannya, atau mungkin sedang menghitung permukaan kaca matanya.