
Dulu, kerja berat dan sukar biasanya digalas golongan lelaki, namun kini wanita juga mampu melakukannya, tidak kira dalam apa jua bidang.
Ini terbukti apabila 2 angkasawan wanita, Jessica Meir dan Christina Koch berjaya menggantikan bateri pada panel solar di luar Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) Rabu lalu.
CNN memetik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) sebagai berkata, Meir dan Koch berjaya menamatkan jelajah angkasa pertama tahun ini untuk menggantikan bateri nikel-hidrogen dengan bateri jenis litium-ion yang menyimpan tenaga dijana daripada panel solar.
Tetapi, misi itu tamat 7 jam 30 minit kemudian, terlewat sejam kerana sistem lampu dan kamera video pada helmet Koch tertanggal daripada tempatnya.
Masalah itu berlaku kira-kira setengah jam selepas mereka memulakan jelajah angkasa. Pusat kawalan misi menasihatkan mereka menyimpan peralatan itu daripada membazir masa memasangnya.
Mereka dijadualkan melakukan jelajah angkasa seterusnya pada Isnin ini untuk menyelesaikan penukaran bateri itu.
Stesen angkasa lepas itu dikuasai panel solar dan 4 set bateri.
Sekiranya penukaran bateri itu selesai mengikut jadual, angkasawan Andrew Morgan dan komander stesen angkasa lepas, Luca Parmitano dari Agensi Angkasa Eropah akan keluar dari ISS pada 25 Jan ini untuk menamatkan misi pemasangan alat penyejukan Alpha Magnetic Spectrometer (AMS) untuk digunakan pada November dan Disember ini, sekaligus memastikan alat itu sedia digunakan.
Koch dan Meir pernah mencipta sejarah dengan menyelesaikan jelajah angkasa wanita sepenuhnya buat julung kali pada Oktober tahun lalu.
Mereka kini dalam senarai 12 wanita yang mungkin menjadi angkasawan wanita pertama ke bulan pada 2024.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]