Desakan peralihan kuasa timbulkan konflik, PPBM beritahu Otai Reformis

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti PPBM, Syed Hamid Albar.

PETALING JAYA: Desakan peralihan kuasa perdana menteri hanya menimbulkan salah faham, konflik dan ketegangan antara komponen Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PPBM, Syed Hamid Albar berkata pendekatan yang digunakan sekarang hanya melebarkan jurang keyakinan rakyat.

“Elok cari formula yang tertib dan sopan serta dibincangkan secara tertutup oleh pucuk pimpinan PH. Rakyat pun naik bosan dan hilang keyakinan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Kumpulan aktivis, Otai Reformis yang berkata tiada yang boleh dibanggakan selepas setahun setengah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memegang kerajaan PH.

Pengerusinya, Idris Ahmad berkata kebanyakan menteri Kabinet “dipegang” Mahathir sehingga tiada yang berani menyuarakan mengenai tarikh peralihan kuasa perdana menteri.

Syed Hamid berkata soal peralihan kuasa perdana menteri dibincang dan dibahaskan hebat sejak PH mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata rakyat melihat seolah-olah ada perebutan kuasa dengan serang-menyerang antara penyokong masing-masing.

“Tambah pula desakan merengangkan silatulrahim sesama sendiri. Pada saya pendekatan yang digunakan sekarang melebarkan jurang keyakinan rakyat,” katanya.

Beliau berkata peralihan kuasa akan berlaku tetapi bila dan bagaimana seharusnya dibincangkan oleh pucuk pimpinan tertinggi secara senyap-senyap.

“Ini kerana hebahannya sudah terlalu banyak dicakapkan.”

Menerusi persefahaman pimpinan PH, Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan diangkat sebagai perdana menteri ke-8.

Pada 14 Januari lalu, Mahathir menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan jika presiden parti dalam PH memintanya berbuat demikian.

Tarikh peralihan kuasa Mahathir kepada Anwar terus menjadi perbincangan sejak kebelakangan ini susulan tempoh 2 tahun yang disebut-sebut sebelum ini hampir tamat.

Semalam, Anwar menggesa semua pihak dalam PH tidak membincangkan soal peralihan kuasa secara terbuka, susulan gesaan pimpinan PKR mendesak Mahathir melepaskan jawatannya.

Anwar berkata, beliau sendiri sudah memberi jaminan untuk menyokong Mahathir sebagai perdana menteri dalam mengemudi negara terutamanya mengukuhkan ekonomi.