
Selepas perbahasan yang penuh emosi di mana beberapa speaker menitiskan air mata, seramai 621 ahli parlimen EU menyokong dan 49 menolak perjanjian Brexit antara Britain dan 27 negara anggota lain pada Oktober, kira-kira 3 tahun selepas rakyat Britain mengundi untuk keluar.
Seramai 13 ahli parlimen berkecuali dan dewan parlimen kemudian menyanyikan lagu perpisahan orang Scotland, Auld Lang Syne. Semua 73 ahli parlimen EU British kemudian menuju ke jamuan selamat tinggal di dewan EU selepas pengundian itu.
Semalam, duta Britain ke EU menyerahkan dokumen yang merasmikan Brexit kepada seorang pegawai kanan EU. Berlatarkan bendera British dan EU di ibu pejabat blok itu di Brussels, Belgium, Tim Barrow, tersenyum, menyerahkan fail warna biru dengan jata United Kingdom.
Selepas rundingan perpisahan yang berlarutan, Britain akan meninggalkan kelab itu yang disertainya pada 1973 pada tengah malam Jumaat waktu Brussels, dan bendera British akan ditanggalkan dari pejabat EU dan bendera EU akan diturunkan di premis British.
Dengan tempoh peralihan status-quo sehingga hujung tahun ini, perbincangan baru – meliputi perdagangan hingga keselamatan – akan dimulakan segera berlandaskan hubungan baru.
“Kita sedang pertimbangkan perjanjian perdagangan bebas sifar tarif, sifar kuota. Tetapi syaratnya adalah perniagaan EU dan British terus bersaing di lapangan sama rata. Tentu sekali kami tidak akan dedahkan syarikat-syarikat kami kepada persaingan yang tidak adil,” kata ketua Kesatuan Eropah, Ursula von der Leyen kepada dewan parlimen.
Ketua perunding EU, Michel Barnier semalam beritahu wakil-wakil 27 negara anggota bahawa suatu perjanjian persatuan yang longgar seperti EU dengan Ukraine menjadi asas kepada hubungan baru, kata sumber-sumber diplomatik.
“Kita tidak akan mengalah dalam isu-isu yang penting bagi kita,” kata Barnier, menurut sumber yang diberi taklimat mengenai mesyuarat tertutup itu.
‘Tak sesuai’
Di hari terakhirnya sebagai ahli parlimen Eropah, pemimpin kempen Brexit, Nigel Farage beritahu pemberita UK tidak akan berpatah balik selepas meninggalkan kesatuan itu.
“Tidak sesuai dengan UK, lebih baik kami keluar,” katanya, menggambarkan keraguan terhadap Eropah sebagai pandangan umum di UK, di mana undi “keluar” memenangi referendum 2016 dengan margin tipis 52 berbanding 48%.
Beliau berkata Perdana Menteri British, Boris Johnson berjanji tiada fasal “lapangan sama rata” mengenai persaingan adil dalam perjanjian EU-UK, menonjolkan titik pertikaian utama dengan blok itu pada rundingan-rundingan akan datang.
Ahli-ahli parlimen Brexit melambai kepada dewan parlimen dengan bendera mini Union Jack dan melaungkan “Hurray!”, tetapi rakan sejawat Sosialis, Jude Kirton-Darling menahan tangis.
“Mungkin ini hari paling sedih dalam hidup saya setakat ini. Brexit sesuatu yang menyerang asas identiti kita,” kata Kirton-Darling, yang merancang untuk menetap di Brussels dengan suaminya, seorang warga Belgium.
Guy Verhofstadt, seorang ahli parlimen liberal dari Belgium, mengeluh Brexit sebagai perpisahan bersejarah: “Sedih melihat sebuah negara yang 2 kali memerdekakan kita, 2 kali menitiskan darah untuk membebaskan Eropah meninggalkan kita.”
Pada Sabtu, wakil tetap UK ke EU, atau UKRep, akan menjadi misi negara asing – yang digelar “UKmissEU” oleh beberapa pihak.