Pasukan petugas mula operasi sekretariat bawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan

Pasukan petugas mula operasi sekretariat bawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan

Terdahulu hari ini Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, seramai 132 orang akan dibawa pulang dengan penerbangan khas dari Wuhan, China, esok, berikutan penularan koronavirus.

Pasukan petugas Kedutaan Besar Malaysia di Beijing di bilik sekretariat di bandar Wuhan untuk membantu proses penghantaran pulang rakyat Malaysia susulan penularan wabak koronavirus di negara itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pasukan petugas dari Kedutaan Besar Malaysia di Beijing telah memulakan operasi di bilik sekretariat di bandar Wuhan untuk membantu proses penghantaran pulang rakyat Malaysia susulan penularan wabak 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) di negara itu.

Duta Besar Malaysia ke China Raja Nushirwan Zainal Abidin dalam kenyataan malam ini berkata, tugasan pasukan itu pada hari ini ialah terus mengemas kini maklumat-maklumat logistik dan juga memurnikan tindakan bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan.

“Usaha-usaha perbincangan lanjut juga dibuat bersama-sama kerajaan China dan kerajaan tempatan wilayah Hubei bagi memastikan kelancaran proses tersebut,” katanya.

Katanya, setakat ini, rakyat Malaysia di Wuhan memberi maklum balas dan kerjasama yang baik, selain pasukan tersebut menerima sokongan baik daripada kerajaan China dan kerajaan tempatan wilayah Hubei bagi menggerakkan rakyat Malaysia di Wuhan.

Dalam pada itu, Nushirwan memaklumkan 141 orang, terdiri daripada 117 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara yang merupakan pasangan serta anak-anak mereka akan dibawa pulang menaiki pesawat khas dari Wuhan, China.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, seramai 132 orang akan dibawa pulang dengan penerbangan khas dari Wuhan, China, esok, berikutan penularan koronavirus.

Wan Azizah berkata tertakluk kepada kelulusan kerajaan China, mereka yang akan dibawa pulang hanyalah yang didapati sihat untuk menaiki pesawat selepas menjalani tapisan kesihatan yang ditetapkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan, Tianhe.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.