China tahan wanita ‘sengaja sembunyi’ sejarah kontak di kawasan koronavirus

China tahan wanita ‘sengaja sembunyi’ sejarah kontak di kawasan koronavirus

Pihak berkuasa menahan wanita bernama Liu itu kerana menjejaskan usaha pencegahan dan kawalan ke atas wabak koronavirus.

Pekerja berusaha menyiapkan pembinaan Hospital Huoshenshan dalam tempoh 10 hari untuk membolehkan ia menerima pesakit dijangkiti koronavirus di Wuhan, wilayah Hubei. (Gambar AFP)
BEIJING:
Seorang wanita berusia 36 tahun ditahan polis di Tianjin pada Isnin kerana “sengaja menyembunyikan” kontak rapat dengan individu dari sebuah kawasan terjejas akibat wabak koronavirus, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut laporan itu, pihak berkuasa keselamatan awam tempatan menangkap wanita bernama Liu itu atas “penahanan pentadbiran” kerana tindakannya menjejaskan usaha pencegahan dan kawalan ke atas virus berkenaan.

Bagaimanapun, tidak jelas jika wanita itu sudah dibebaskan.

Di Wuhan, sebuah hospital baru dilengkapi 1,000 katil yang siap dibina dalam 10 hari untuk merawat jangkitan itu, mula menerima pesakit pada Isnin, lapor People’s Daily.

Sebuah lagi hospital dijangka dibuka dalam minggu ini.

AFP melaporkan China melaksanakan sekatan pengangkutan ketat di kebanyakan kawasan terjejas akibat koronavirus dan mengarahkan mereka yang pernah ke wilayah Hubei untuk menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari.

Banyak negara, termasuk Malaysia memindahkan rakyat mereka dari China dan kebanyakan syarikat penerbangan membatalkan penerbangan ke negara itu.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying pada Isnin mengkritik Amerika Syarikat mencetuskan “panik” kerana merupakan antara negara pertama memindahkan warganegaranya tanpa memberi “bantuan penting” kepada Beijing.

Mongolia, Rusia dan Nepal menutup sempadannya dengan China, manakala Hong Kong menutup semua, kecuali 2 laluan darat ke China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.