2 rakyat Malaysia dibawa pulang dari Wuhan positif koronavirus

2 rakyat Malaysia dibawa pulang dari Wuhan positif koronavirus

Ini menjadikan jumlah kes koronavirus meningkat kepada 12 orang.

Rakyat Malaysia dan waris mereka yang dibawa pulang dari Wuhan, China menaiki bas setibanya di KLIA semalam. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Jumlah rakyat Malaysia yang dijangkiti koronavirus meningkat kepada 3 orang, selepas 2 warganegara yang dibawa pulang dari Wuhan, China semalam disahkan positif.

Ini menjadikan keseluruhan 12 individu positif koronavirus di negara ini, dengan 9 daripadanya ialah warga China.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad dalam sidang media hari ini berkata, 2 kes terbaru itu membabitkan seorang bapa berusia 45 tahun dan anaknya 9 tahun.

Katanya, 2 beranak yang sedang dirawat di wad pengasingan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban itu dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Dua ahli keluarga lain iaitu isteri lelaki itu dan anak perempuannya didapati negatif daripada wabak berkenaan,” katanya.

Semalam Dzulkefly mengumumkan kes pertama membabitkan rakyat Malaysia dikesan positif koronavirus. Lelaki berusia 41 tahun dari Selangor itu mempunyai rekod perjalanan menghadiri mesyuarat di Singapura dari 16 hingga 23 Jan di mana mesyuarat itu turut dihadiri delegasi antarabangsa termasuk dari China.

Pesawat AirAsia yang membawa 88 rakyat Malaysia dan 19 waris bukan warganegara Malaysia yang terkandas di Wuhan, China tiba di Sepang pada 6 pagi semalam.

Dzulkefly berkata semua yang menaiki pesawat itu dipantau selama 14 hari.

“Mereka semua tertakluk kepada situasi semasa, dari berlepas hingga tiba di terminal, kita akan pantau. Ini sangat penting,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang wanita warga Kanada dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk ujian koronavirus.

Mengenai kanak-kanak warga China yang disah pulih selepas dirawat di wad pengasingan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Dzulkefly berkata mangsa akan dihantar pulang secepat mungkin.

Jumlah terkumpul kes disyaki (PUI) bagi koronavirus novel 2019 (2019-NCoV) di Malaysia adalah 257 orang, iaitu 161 rakyat tempatan, China (91) dan seorang warga Australia, Korea Selatan, Jordan, Brazil dan Thailand.

Daripada kes-kes disyaki itu, 235 negatif dan 17 masih menunggu keputusan makmal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.