
Wan Azizah berkata, isu Palestin dan rakyatnya bukan hanya diperjuangkan masyarakat Islam, malah dibantah segelintir kaum Yahudi yang tidak menyokong tindakan Israel terhadap Palestin.
“Peranan ahli Parlimen adalah untuk mewakili hasrat dan kemahuan rakyatnya. Ahli Parlimen, walaupun dipandu dengan perlembagaan di negara masing-masing, turut boleh memainkan peranan penting dalam isu global.
“Seperti yang kita tahu, terdapat pengkritik tegar terhadap Israel adalah dari kaum Yahudi sendiri,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan penutup Persidangan Kali Ke-3, Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds, hari ini.
Wan Azizah berkata, antara nama tersohor menentang tindakan Israel adalah saintis Albert Einstein, penulis Noam Chomsky dan Alfred Lilienthal. Manakala, antara aktivis bersama rakyat Gaza adalah Zohar Regev dan Yudit Ilany yang merupakan rakyat Israel.
“Kita dapat lihat hari ini, lebih banyak usaha untuk membantu Palestin dalam pelbagai bentuk tindakan sivil. Ia termasuk gerakan dilaksanakan “Boycott, Divestment and Sanctions movement” yang lebih dikenali sebagai BDS,” katanya.
Jelasnya, usaha membebaskan Palestin dari Israel turut mendapat simpati daripada selebriti terkemuka dunia, yang secara tidak langsung dapat memberi impak besar bagi mendapatkan keadilan kepada Palestin.
“Ini termasuk penyanyi Selena Gomez, pelakon Penelope Cruz, Morgan Freeman dan pemain bola sepak terkemuka dunia, Cristiano Ronaldo,” katanya.
Terdahulu Pejabat Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak menerima perjanjian damai antara Israel dan Palestin yang dikenali sebagai “Deal of Century” yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Pejabat Perdana Menteri menyifatkan perjanjian melibatkan Palestin-Israel sebagai berat sebelah dan rakyat Palestin mempunyai hak untuk menolaknya.
Pada Jan lalu, Trump mengumumkan pelan yang digembar-gemburkan bagi menamatkan perseteruan Israel-Palestin, ketika sidang akhbar di Rumah Putih bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Bagaimanapun, tidak ada wakil Palestin hadir ketika pengumuman berkenaan dibuat, yang menyaksikan Trump turut merujuk Baitulmaqdis sebagai ibu negara tunggal Israel.