Saksi beritahu inkuiri Suhakam Joshua dicari pihak berkuasa agama

Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu kali terakhir dilihat pada 30 Nov 2016.

PETALING JAYA: Saksi pertama dalam inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat kehilangan pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu berkata, pihak berkuasa agama mencari Joshua selepas beliau menukar agama daripada Islam kepada Kristian.

Peter Pormannan yang merupakan ejen insurans dan rakan Joshua, bagaimanapun menafikan pihak berkuasa agama mengugutnya.

“Dua tahun selepas saya berjumpa Joshua, dia memberitahu pihak berkuasa agama sedang mencari dia.

“Dia kata ia berkaitan dengan apa yang dia percaya (pertukaran agama) dan tentang pengalaman hidup.

“Joshua memberitahu saya kad pengenalannya menyatakan dia seorang Islam dan mahu menukarnya kerana dia seorang Kristian,” katanya pada hari pertama inkuiri awam hari ini.

Inkuiri itu yang dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam, Hishamudin Yunus dan dibantu pesuruhjaya Jerald Joseph serta Madeline Berma, dijangka berlangsung selama 14 hari mulai hari ini hingga 29 April nanti.

Panel inkuiri awam Suhakam yang terdiri daripada Jerald Joseph (dari kiri), Hishamudin Yunus dan Madeline Berma.

Ruth yang merupakan warga Indonesia, diwakili peguam Philip Koh. Dua adiknya turut datang dari Indonesia untuk menghadiri inkuiri hari ini.

Joshua dan Ruth berkahwin pada Oktober 2004 dan kali terakhir mereka dilihat pada 30 Nov 2016.

Sebelum ini, Suhakam turut mengadakan inkuiri awam berhubung kehilangan pastor Raymond Koh dan aktivis dari Perlis, Amri Che Mat yang merumuskan 2 lelaki itu ialah mangsa kehilangan paksa.

Pormannan berkata, kali pertama beliau menemui Joshua dan Ruth di Klang pada 2012.

Katanya, Joshua tiada tempat tinggal dan beliau menawarkan pasangan itu tinggal di rumah mendiang ibu mertua di Kampung Jawa.

Mereka tinggal di Kampung Jawa kira-kira setahun. Sepanjang tempoh itu, mereka sentiasa berhubung dan Joshua memberitahu Pormannan beliau sudah menukar agama kepada Kristian.

Pormannan berkata, Joshua dan Ruth kemudiannya berpindah ke Kampung Tunku di Petaling Jaya.

Katanya, pada hari pasangan itu hilang, Joshua runsing selepas menerima satu panggilan di mana beliau memberitahu pemanggilnya: “Saya tak ganggu awak, kenapa awak ganggu saya?”

Sementara itu, saksi kedua Grace Thangamalar berkata Joshua dan Ruth memang terganggu selepas menerima panggilan itu.

Grace yang merupakan anak kepada saksi pertama berkata mendapat maklumat itu selepas pernah tinggal bersama Joshua dan Ruth ketika belajar di sebuah kolej pada tahun 2015 hingga 2017

Dia menceritakan sebab Joshua menawarkan tinggal bersamanya disebabkan ayahnya pernah menolong memberi tempat tinggal semasa di Klang.

Dalam pada itu, Grace juga berkata polis juga pernah mengambil kenyataannya selepas 4 tahun kehilangan Joshua dan Ruth.

Grace, 26 yang bekerja sebagai eksekutif logistik di Klang juga berkata kejadian itu bukan satu-satunya gangguan yang dialami pasangan suami isteri yang hilang itu.

Dia berkata Ruth pernah memberitahunya ada beberapa ancaman yang diterimanya dan terpaksa keluar dari rumah itu dengan segera.