Prosiding tuduhan berkait LTTE henti serta-merta
Peguam Negara Tommy Thomas berkata pendakwa mendapati tidak sesuai untuk menuduh mereka segera setelah kesalahan-kesalahan yang dikatakan dilakukan.
PETALING JAYA: Peguam negara menghentikan prosiding terhadap 12 individu yang dikenakan tuduhan berkaitan kumpulan militan, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) “berkuat kuasa serta-merta”, lebih 3 bulan selepas diheret ke mahkamah untuk membela diri.
Menurut Tommy Thomas, “tiada prospek yang jelas untuk sabitan” terhadap mana-mana 12 tertuduh ke atas mana-mana 34 pertuduhan dikenakan.
“Sebagai pendakwa raya, saya mestilah memastikan kelakuan saya sebagaimana yang akan menjaga, menggalakkan dan mempertahankan kepentingan keadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Thomas berkata 6 tertuduh dituduh bagi kesalahan yang dikatakan berlaku antara Mac dan Disember 2014, bagaimanapun “para pendakwa tidak mendapati ianya sesuai untuk menuduh mereka segera”.
“Ia bercanggah dengan kepentingan awam bagi 6 orang ini dibicarakan pada 2020 kini untuk kesalahan-kesalahan yang dikatakan dilakukan 6 tahun lepas,” katanya, dan menambah peredaran masa tidak boleh diterima bagi kes seumpama ini.
Thomas berkata 6 tertuduh juga dituduh bagi kesalahan yang dikatakan berlaku pada Januari dan Oktober 2019, tetapi pihak pembelaan akan mencabar LTTE tidak bertanggungjawab terhadap keganasan di Sri Lanka pada tahun itu, yang tiada impak ke atas urusan seharian orang-orang awam di sini.
“Kaitannya jauh, tidak betul dan lemah. Mudarat kepada warga Malaysia tidak boleh dibuktikan oleh pendakwaan,” katanya.
Thomas berkata seorang tertuduh dituduh memberi sokongan dan mengedar bahan-bahan berkaitan LTTE pada Mac dan Jun 2014, tetapi ia berlaku sebelum kumpulan itu diwartakan sebagai pengganas pada 12 Nov 2014.
“Jelas pertuduhan-pertuduhan tersebut yang dikenakan ke atasnya tidak boleh dipertahankan kerana pada masa tersebut LTTE belum lagi digazetkan, yang merupakan elemen yang dikehendaki untuk kesalahan-kesalahan tersebut,” katanya.
Mengenai gambar pengasas dan pemimpin LTTE dalam telefon bimbit atau akaun Facebook setiap seorang 12 tertuduh berkenaan, Thomas berkata mempunyai gambar dan representasi lain yang berkaitan tidak menukar seseorang menjadi pengganas.
Beliau menjelaskan perbuatan pengganas adalah sekiranya perbuatan tersebut menyebabkan, atau dengan niat untuk menyebabkan, kematian orang lain.
“Sekiranya ia hanya kenyataan atau bantahan, sama ada dalam media sosial atau sebaliknya, tanpa ugutan keganasan, ia bukanlah perbuatan pengganas,” katanya, dan menambah jutaan orang mengagumi pemimpin komunis seperti Che Guevara.
Thomas juga menarik perhatian kepada Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram, menyatakan perintah mengisytiharkan suatu entiti sebagai “kumpulan pengganas” seharusnya dibatalkan sekiranya tindakan atau kecenderungan kepada keganasan berhenti, atau entiti tersebut hampir luput, tidak wujud lagi atau dibubarkan.
“Pihak pembelaan bagi setiap tertuduh boleh menghujahkan perisytiharan LTTE kumpulan pengganas pada 12 Nov 2014 berkemungkinan tidak sah atau setidak-tidaknya patut dibatalkan selaras dengan kajian semula perintah bawah Seksyen 66B(9),” katanya.
Pada 10 Okt tahun lalu, 2 Adun, masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara 7 individu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Dua hari kemudian, polis menahan 5 lagi individu selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan yang dikelaskan sebagai pengganas di Malaysia sejak 2014.