Agong putuskan, kemudian PM, MP tiada pilihan, kata bekas hakim

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menemubual 222 ahli Parlimen untuk mendengar pandangan mereka berhubung calon PM.

PETALING JAYA: Tiada sesiapa pun boleh mengenakan syarat terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam memutuskan siapa yang mengawal majoriti di Dewan Rakyat, kata hakim bersara Gopal Sri Ram, ketika Umno meminta Dr Mahathir Mohamad menerima kesemua ahli Parlimennya dalam membentuk kerajaan baru.

Beliau berkata Agong boleh menentukan siapa yang mempunyai majoriti dan menjadi perdana menteri, dan tiada sesiapa boleh menentukan Agong dan perdana menteri tentang bagaimana Kabinet harus diwujudkan.

Semalam, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata ahli Parlimen dari Barisan Nasional dan sekutunya PAS menggesa pilihan raya umum baru untuk memilih kerajaan baru.

Beliau berkata mereka menyuarakan sokongan kepada Mahathir untuk mengetuai kerajaan baru dengan syarat DAP tidak akan menganggotai mana-mana gabungan baru.

Beliau berkata BN – diwakili Umno, MCA dan MIC – serta PAS dan PBRS Sabah juga tidak bersetuju cadangan Mahathir memilih ahli Parlimen secara berseorangan untuk membentuk “kerajaan perpaduan” tanpa pembangkang.

Namun Sri Ram berkata apabila ia mendapat undi di Dewan Rakyat, setiap ahli Parlimen berhak mengundi mengikut suara hatinya.

Bekas hakim Gopal Sri Ram kini mengetuai pasukan pendakwaan dalam 2 kes terhadap Najib Razak berkaitan skandal 1MDB.

Sri Ram berkata terdapat beberapa ahli politik yang berdepan tuduhan jenayah yang serius dan ia memberi manfaat kepada mereka untuk mengubah situasi di mana terdapat kemungkinan yang kuat bahawa pendakwaan yang sedang berlangsung akan dihentikan.

“Saya percaya ini tidak akan berlaku di bawah Mahathir kerana dia seorang individu yang mengamalkan kedaulatan undang-undang,” katanya, sambil menambah ahli Parlimen yang tidak terlibat dalam kes jenayah yang serius harus menggunakan minda mereka demi kepentingan negara.

Bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan Najib Razak, bekas rakan sejawatnya, Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahmad Maslan, serta Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan Adun Kinabatangan Bung Mokhtar Radin sedang berdepan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Sri Ram diberikan lesen khas untuk mendakwa Najib dalam 2 kes yang dikaitkan dengan 1MDB yang kini sedang dijalankan.

Sementara itu, peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al-Mahdzar berkata mana-mana ahli Parlimen pembangkang boleh memulakan undi tidak percaya terhadap perdana menteri jika mereka tidak berpuas hati dengan pembentukan Kabinet.

“Sekiranya undi itu berjaya, Kabinet juga tumbang. Kemudian Agong mempunyai pilihan untuk menggesa pilihan raya umum atau memilih MP lain sebagai perdana menteri,” tambahnya.