Covid-19: Doktor maut, tinggalkan isteri sarat mengandung

Peng Hua maut selepas bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19 tinggalkan isteri sarat mengandung.

Seorang doktor di China maut ketika perang melawan Covid-19, pada Khamis.

Lebih menyedihkan, mangsa yang dikenali sebagai Peng Hua, 29 tahun, meninggalkan isteri yang sedang sarat mengandung.

Pada masa sama, beliau belum sempat melangsungkan majlis perkahwinannya yang sekian lama tertangguh.

Beliau dilaporkan mendapat cuti bagi melangsungkan majlis tersebut, yang tertangguh kerana mengikuti kursus kedoktoran, tetapi dek kerana tugasnya susulan penularan Covid-19, beliau tetap hadir bekerja.

Peng dan isterinya melangsungkan perkahwinan pada November 2017 dan sepatutnya mengadakan majlis perkahwinan mereka pada 1 Februari tahun ini.

Beliau yang merupakan seorang pakar pernafasan, dijangkiti Covid-19 ketika merawat pesakitnya di Hospital Daerah Jiangxia, dalam Wilayah Wuhan.

Beliau dimasukkan ke wad pada 25 Januari dan dipindahkan ke Hospital Jinyintan, Wuhan untuk mendapatkan rawatan pada 30 Januari.

Bagaimanapun, beliau meninggal dunia pada 9.50 malam waktu tempatan di hospital berkenaan walaupun usaha telah dilakukan oleh semua pihak untuk menyelamatkannya.

Jumaat lalu, rakan Peng di hospital tempat beliau bertugas meratapi kematiannya.

Salah seorang rakan, Jiang Junxia berkata, Peng dikenali sebagai seorang yang jujur, optimis, bekerja keras dan sentiasa bersedia membantu dalam apa jua situasi.

“Kami berjanji selepas kami memenangi perang menentang Covid-19 ini, kami akan pergi ke majlis perkahwinannya untuk berkongsi kegembiraan,” jelasnya.

Sementara itu, isterinya pula berkata, Peng bekerja 48 jam tanpa henti sejak Covid-19 kerana mahu membantu rakan sekerjanya.

Menurutnya, Peng merupakan satu-satunya doktor lelaki di jabatannya selain Pengarah.

Peng masih belum berkesempatan untuk menghantar kad undangan perkahwinannya yang masih tersimpan rapi di laci meja pejabatnya.

Pengarah di Jabatan Pernafasan, Chen Hao berkata, pada hari pertama Peng ditempatkan bertugas di wad isolasi, kesemua 130 pesakit dirawat oleh Peng dan beliau melakukan pemeriksaan setiap masa.

“Walaupun kami memakai sut perlindungan, kami masih bimbang akan risikonya. Peng pernah beritahu saya, sebagai seorang lelaki, dia cukup kuat untuk merawat lebih ramai pesakit,” katanya.

Peng diberikan penghormatan dan diangkat sebagai wira dalam kalangan doktor yang berperang melawan Covid-19 di China.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]