
Seorang jemaah dari Kedah, Mohd Fadzil Osman, 49, berkata beliau bersama 39 lagi jemaah dari Sungai Petani dan Alor Setar tiba di KLIA pada 6 pagi Khamis dan sepatutnya berlepas dengan pesawat Saudi Airlines pada 4.40 petang semalam.
Beliau yang turut membawa isteri Norharisah Harun, 47, berkata mereka hanya tahu mengenai keputusan Riyadh itu pada 9 pagi.
“Ketika itu, kami dimaklumkan keputusan itu belum muktamad, jadi kami menunggu lagi, tetapi kira-kira 1 tengah hari barulah dapat pengesahan kami tak boleh terbang.
“Ada di antara kami yang sudah mendaftar masuk, tetapi terpaksa keluar semula selepas dimaklumkan penerbangan batal,” katanya kepada Bernama malam tadi.
Fadzil berkata, mereka terpaksa menunggu sehingga 1 pagi untuk bas yang telah tiba di Kedah, berpatah balik ke KLIA.
Walaupun kecewa tidak dapat menunaikan umrah pada saat akhir, namun beliau menganggap rezeki belum memihak kepadanya untuk menunaikan ibadah itu.
“Ini sepatutnya pertama kali saya dan isteri menunaikan umrah, tetapi apa boleh buat, kita hanya merancang. Penerbangan cuma ditangguh sehingga pihak Arab Saudi buka semula kemasukan jemaah umrah.”
Seorang lagi jemaah, Rohani Abdul Rahman, 57, berharap penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi itu ditarik balik dalam masa terdekat.
“Kami sudah buat persediaan selama 6 bulan untuk ibadah umrah ini, tak sangka saat akhir terpaksa dibatalkan. Memang sedih, tetapi kami reda,” katanya.
Sementara itu, jemaah dari Indonesia, Muhammad Jamil Arfah, 28, berkata beliau bersama 23 lagi jemaah tiba di KLIA dari Makassar pada 3 petang Khamis untuk transit sebentar sebelum menaiki penerbangan ke Arab Saudi.
“Penerbangan kami sepatutnya 9 malam tadi, tetapi dibatalkan. Ketika ini kami masih menunggu kata putus sama ada mahu pulang (ke Makassar) atau masih bisa (boleh) terbang ke Arab Saudi,” katanya.
Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak Covid-19, menurut Kementerian Luarnya pada Rabu.
Saudi Press Agency melaporkan kerajaan negara itu turut menggantung sementara kemasukan pelawat yang memiliki visa pelancong dari negara yang terjejas Covid-19, berdasarkan kriteria ditetapkan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi.
Wisma Putra dalam kenyataan semalam turut menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan sementara perjalanan ke Arab Saudi bagi tujuan umrah, ziarah dan pelancongan susulan tindakan pihak berkuasa negara itu.