Matta rayu Agong bincang dengan Saudi isu gantung visa umrah

Matta memohon Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berunding dengan Raja Salman Abdulaziz Al Saud untuk mempertimbangkan semula keputusan penggantungan sementara visa umrah. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) merayu Yang di-Pertuan Agong membantu menyelesaikan isu penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi seperti diumumkan semalam.

Timbalan Presiden Matta, Mohd Akil Mohd Yusof memohon Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku ketua umat Islam negara berunding dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud mempertimbangkan semula keputusan penggantungan itu.

“Patik selaku rakyat Malaysia dan timbalan presiden Matta mewakili umat Islam ingin merayu dan memohon perkenan Tuanku untuk berunding dengan Raja Arab Saudi bagi mempertimbangkan (menarik balik) penyekatan visa umrah dan visa ziarah ke Arab Saudi untuk kebaikan umat Islam.

“Penggantungan sementara ini akan menjejaskan pengusaha pelancongan umrah,” katanya dalam sidang media semalam.

Riyadh mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak Covid-19, menurut Kementerian Luarnya pada Rabu.

Saudi Press Agency (SPA) melaporkan kerajaan negara itu turut menggantung sementara kemasukan pelawat yang memiliki visa pelancong dari negara terjejas dengan Covid-19 berdasarkan kriteria ditetapkan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi.

Sementara itu, Akil meminta orang ramai yang telah mendaftar untuk mengerjakan umrah supaya tidak panik dan menghubungi ejen atau syarikat pelancongan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Kita juga menyeru semua ahli Matta supaya sabar semasa berurusan dengan pelanggan mereka yang terkesan akibat pengumuman ini. Matta juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu memudahkan urusan jemaah.”

Katanya, seramai 270,000 rakyat Malaysia mengerjakan ibadah umrah tahun lalu.