Muhyiddin kini ketuai ‘Perikatan Nasional’, minta sokongan rakyat

Muhyiddin kini ketuai ‘Perikatan Nasional’, minta sokongan rakyat

Muhyiddin berkata niat ‘Perikatan Nasional’ ikhlas dan meminta rakyat berdoa dan menyokong usaha mereka.

Pemimpin parti yang membentuk gabungan baru ‘Perikatan Nasional’, iaitu Abdul Hadi Awang daripada PAS, Ahmad Zahid Hamidi (Umno), bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan pemimpin GPS Fadilah Yusof bersama presiden PPBM Muhyiddin Yassin sebelum ke Istana Negara pagi tadi.
KUALA LUMPUR:
Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin berkata, beliau kini mewakili suara gabungan politik baru yang dibentuk bersama Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Muhyiddin yang dicalonkan sebagai perdana menteri ke-8 berkata, beliau kini mengetuai Perikatan Nasional ke Istana Negara untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Kami semua dari Perikatan Nasional, semua orang yang anda lihat di sini, akan pergi ke Istana Negara dengan dokumen ini yang kami bawa.

“Hasrat kami adalah untuk melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan negara daripada keadaan yang sedang berlaku sekarang,” katanya.

Blok politik yang menyokong Muhyiddin bergerak menuju ke Istana Negara dengan mendakwa ia mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Menyertai Muhyiddin ialah pemimpin PAS Abdul Hadi Awang, Ahmad Zahid Hamidi mewakili Umno, bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan pemimpin GPS Fadilah Yusof.

Semalam Muhyiddin Yassin dilihat bakal mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru berikutan sokongan kepada presiden PPBM itu daripada Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Pagi ini, Dr Mahathir Mohamad yang keluar daripada Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berpusing arah. Berikutan pertemuan dengan pemimpin bekas gabungan kerajaan itu, beliau menyatakan kesediaan untuk memimpin gabungan baru dengan PH.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, matlamat Perikatan Nasional ikhlas dan meminta semua rakyat berdoa dan memberi sokongan kepada usaha gabungan politik baru itu.

“Saya menyeru semua orang supaya berdoa dan semoga kami akan menerima berkat daripada Allah,” katanya sebelum berangkat ke Istana Negara pada pukul 10 pagi.

Beliau tiba di rumahnya di Damansara selepas menghadap Agong pada jam 10.45 pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.