Takut jangkitan Covid-19, wanita lahirkan bayi sendirian di China

Ibu hamil melahirkan anak mereka di hospital swasta yang lebih mahal bagi mengelak jangkitan Covid-19. (Gambar AFP)

BEIJING: Kebimbangan terhadap Covid-19, wanita hamil dan ibu muda di China melahirkan bayi mereka secara sendirian, tidak membawa keluar bayi mereka dan bertukar ke hospital swasta yang lebih mahal untuk mengelak risiko jangkitan.

Seorang ibu muda dengan nama keluarga Xie, memberitahu AFP, dia melahirkan anak perempuannya di Wuhan, awal bulan ini sendirian kerana tidak ada seorang pun ahli keluarganya dibenarkan ke hospital bersamanya di ibu kota di mana wabak itu muncul pada Disember.

Dengan jalan raya yang disekat, dia tidak dapat menghadiri pemeriksaan pra-bersalin dan takut untuk ke hospital kerana bimbangkan jangkitan silang.

“Mereka biarkan kamu keluar selepas kamu melahirkan bayi,” kata Xie sambil berkata dia memilih hospital ginekologi khas untuk melahirkan anak.

“Apabila saya sampai di sana, hanya ada satu wad yang kosong,” katanya.

“Sepanjang saya di hospital saya memakai topeng muka dan sarung tangan sepanjang masa dan mencuci tangan sekerap mungkin. Saya jarang meninggalkan wad.”

Kira-kira 56 juta penduduk Wuhan dan bandar lain di wilayah Hubei berada di bawah kuarantin sejak akhir Januari.

Video propaganda media negara menunjukkan sukarelawan dalam pakaian hazmat memandu kenderaan membawa wanita hamil ke hospital.

Namun Xu Tingting dari Huanggang memberitahu AFP, dia bergelut mencari kenderaan untuk ke hospital ketika dia sakit bersalin 2 minggu sebelum tarikh jangkaan.

“Saya mengalami kontraksi setiap 10 minit, dan meminta ibu bapa saya membawa saya ke hospital. Mereka mengambil masa hampir 2 jam untuk mencari kereta dan saya panik, berfikir saya perlu bersalin di rumah tanpa bantuan,” kata Xu kepada AFP.

“Suami saya berada di bandar lain dan tidak dibenarkan masuk ke bandar ini. Pemilik kedai runcit di tempat kami akhirnya bersetuju untuk membawa saya ke hospital menggunakan van penghantarannya.”

Xie dan Xu – yang melahirkan bayi lelaki yang sihat – juga bimbang kerana bayi mereka belum menerima vaksin.

“Saya masih belum tahu apa yang perlu dilakukan. Masih ada 20 hari lagi untuk bayi saya mendapatkan vaksin, saya berharap keadaan terkawal,” kata Xie.