NGO gesa sekolah laksana kaedah ‘anti-virus’ selepas gelombang baru Covid-19

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan mencadangkan sekolah melaksanakan saringan suhu untuk pelajar sebelum membenarkan mereka memasuki sekolah.

PETALING JAYA: Sekolah di seluruh negara digesa melaksanakan langkah kecemasan perubatan ketat, termasuk melarang kehadiran pelajar menunjukkan gejala seperti selsema, ketika gelombang baru wabak Covid-19 melanda negara baru-baru ini dengan lonjakan jumlah pesakit tempatan.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) berkata, ini akan membabitkan saringan suhu untuk pelajar sebelum mereka dibenarkan memasuki sekolah yang menjadi prosedur operasi standard (SOP) di sesetengah sekolah swasta.

Setiausaha PAGE, Tunku Munawirah Putra berkata, pihak berkuasa juga patut melarang mereka yang pernah ke China, Jepun, Iran, Korea Selatan, Itali dan Iran dalam 14 hari lalu, serta tidak membenarkan mereka memasuki kawasan sekolah.

“Jika mereka terdedah kepada pesakit disahkan positif Covid-19 dalam 14 hari lalu dan tidak diuji negatif, mereka tidak patut dibenarkan berada dalam sekolah,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, model yang digunakan di Australia, termasuk langkah mengkuarantinkan diri dan penyahjangkitan juga boleh dilaksanakan di sini.

“Sekolah akan menentukan kontak rapat dengan orang yang sakit itu.”

Minggu lalu, Malaysia menyaksikan peningkatan tertinggi sebanyak 28 kes Covid-19.

Virus itu mula dikesan di Wuhan, China dan tersebar ke lebih 100 negara dengan lebih 110,000 kes positif dan meragut nyawa hampir 4,000 pesakit.

Munawirah berkata, ibu bapa perlu menjadi “penyaring pertama” keadaan kesihatan anak mereka, disusuli sekolah di mana guru perlu mengenal pasti pelajar dengan gejala seperti selsema sebelum memutuskan untuk menghantar mereka pulang ke rumah.