PPBM Melaka sokong calon dilantik KM, kata timbalan ketua negeri

PPBM Melaka sokong calon dilantik KM, kata timbalan ketua negeri

Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, PPBM Melaka komited ke arah mengukuhkan Perikatan Nasional seperti dipersetujui bersama kepimpinan tertinggi parti bagi membentuk kerajaan persekutuan.

Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, PPBM Melaka yakin pentadbiran kerajaan negeri akan berjalan dengan teratur selepas pelantikan ketua menteri dan barisan exco selesai minggu ini.
MELAKA:
PPBM Melaka akan menyokong sesiapa saja yang bakal dilantik sebagai ketua menteri Melaka ke-12 oleh Yang Dipertua Negeri, Mohd Khalil Yaakob, kata Timbalan Ketuanya, Mohd Rafiq Naizamohideen.

Beliau berkata, kemelut politik yang berlaku di negara dan Melaka perlu dihentikan segera.

“Tumpuan kerajaan harus diberikan kepada isu pembangunan ekonomi rakyat, penyelesaian dan menangani krisis air yang menjejaskan kehidupan rakyat, sektor perindustrian, pelaburan dan kesihatan, termasuk pencegahan penularan Covid-19, kebajikan dan pendidikan rakyat.

“PPBM Melaka komited ke arah mengukuhkan gabungan Perikatan Nasional sepertimana dipersetujui bersama kepimpinan tertinggi parti bagi membentuk kerajaan persekutuan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Rafiq berkata, PPBM Melaka berharap semua ahli, penyokong parti dan rakyat Melaka dapat bertenang dan ia yakin pentadbiran kerajaan negeri akan berjalan dengan teratur sebaik pelantikan ketua menteri dan barisan exco selesai minggu ini.

Ketua PPBM Melaka, Redzuan Yusof semasa dihubungi enggan mengulas pelantikan ketua menteri Melaka yang baru.

Pada 2 Mac lalu, Khalil dilaporkan mendapat representasi Ketua Menteri, Adly Zahari tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar daripada 28 Adun Melaka.

Sehubungan itu, beliau akan melantik seorang Adun sebagai ketua menteri baru dan istiadat angkat sumpah jawatan dijadual petang ini.

Jumaat lalu, Pengerusi Barisan Nasional Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata, Khalil memaklumkan ketua menteri Melaka yang baru dalam kalangan 15 Adun menyokong gabungan BN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.