Kilang disita cemar Sungai Selangor, jadi punca gangguan bekalan air

Lembaga Urus Air Selangor berkata, hasil siasatan menyeluruh semalam menemui sisa minyak di aliran pelepasan akhir yang mengalir ke takungan dan seterusnya ke Sungai Gong. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Sebuah kilang menyelenggara mesin dan jentera disita Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selepas dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor pada Selasa lepas.

Pencemaran bau itu menyebabkan 4 loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor, iaitu LRA Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang dihentikan operasinya kira-kira 3 jam pada hari sama.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, siasatan mendapati kilang di Taman Industri Integrasi Rawang itu gagal menjalankan penstoran sisa minyak yang melibatkan buangan terjadual mengikut syarat ditetapkan di kawasan premis terbabit.

“Siasatan awal pada Selasa menemui pencemaran bau seakan-akan bahan pelarut daripada Kawasan Perindustrian Kecil Sungai Bakau di Sungai Gong, Rawang.

“LUAS kemudiannya menjalankan pensampelan minyak dan gris serta pemeriksaan hidrokarbon di titik pelepasan akhir kilang berkenaan dan Sungai Gong.

“Hasil siasatan menyeluruh LUAS bersama Jabatan Alam Sekitar, MPS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Unit Pengurusan Bencana Selangor dan Air Selangor semalam menemui sisa minyak di aliran pelepasan akhir yang mengalir masuk ke takungan seterusnya ke Sungai Gong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LUAS memaklumkan pihaknya meletakkan “Activate Carbon” di Sungai Gong berhampiran kilang berkenaan bagi mengawal pencemaran bau yang dianggarkan sekitar satu tan.

Susulan itu, surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 dikeluarkan kepada kilang terbabit untuk tindakan pembersihan segera.

Katanya, kilang itu juga dikenakan kompaun oleh JAS bagi kesalahan berkaitan pengurusan buangan terjadual yang tertakluk di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

LUAS bersama agensi berkaitan turut membuat pemantauan rapi dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada lagi LRA dihentikan operasinya bagi mengelakkan penyaluran bekalan air kepada pengguna terjejas.

“Kerajaan Selangor dan LUAS menyeru semua pihak prihatin terhadap kawasan sumber air negeri, terutamanya sungai dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran bagi mengelakkan kejadian sama berulang.”

Empat LRA yang dihenti tugas itu menyebabkan gangguan air tidak berjadual di 7 wilayah, iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat, namun bekalan air sudah pulih.