Boleh guna lesen memandu tamat tempoh ketika perintah kawalan, kata menteri

Pemegang lesen perlu memperbaharui lesen mereka dalam tempoh 30 hari selepas perintah kawalan pergerakan diisytiharkan berakhir.

PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong hari ini mengumumkan pengecualian kepada semua pemegang lesen memandu memperbaharui lesen mereka sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan, berkuatkuasa 25 Mac.

Wee berkata, keputusan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 66(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan memberikan pengecualian kepada semua pemegang lesen memandu memperbaharui lesen memandu masing-masing melalui suatu undang-undang khusus.

“Sebelum ini pemegang lesen memandu individu diminta untuk memperbaharui lesen secara atas talian melalui portal mySikap JPJ dan MyEG sepanjang tempoh PKP tetapi dengan pengumuman di atas, syarat keperluan untuk memperbaharui lesen memandu ini dikecualikan, bagi tempoh PKP.

“Walaupun dengan adanya pengecualian khas ini, para pemandu dinasihatkan supaya membawa salinan sijil perlindungan atau e-cover note insurans ketika memandu sepanjang tempoh PKP.

“Ini bermakna, sesiapa yang mempunyai lesen memandu yang sudah luput masih boleh menggunakan kenderaan masing-masing dengan syarat kenderaan tersebut wajib memiliki perlindungan insurans yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wee bagaimanapun berkata, pemegang lesen perlu memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 30 hari selepas PKP diisytiharkan berakhir.

Beliau turut memaklumkan tidak ada isu berbangkit dalam mendapatkan kelulusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi memperbaharui GDL serta laporan kesihatan yang sah, sepertimana diperlukan dalam syarat permohonan pembaharuan lesen kenderaan komersial.

Hal ini, katanya, tidak ada keperluan untuk memperbaharui lesen itu sepanjang tempoh PKP bagi kenderaan perdagangan dan lesen vokasional.

“Namun, para pemilik kenderaan perdagangan perlu memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) masing-masing dan adalah tertakluk kepada keperluan dokumen kelulusan yang berkenaan dalam tempoh 30 hari selepas PKP diisytiharkan berakhir.

“Keputusan ini dibuat selepas Kementerian Pengangkutan mengambil inisiatif mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Takaful Malaysia,” katanya.

Bermula hari ini, seramai 328 pemegang lesen GDL akan tamat tempoh sah, 25 Mac (385), 26 Mac (356), 27 Mac (357), 28 Mac (348), 29 Mac (315), 30 Mac (369), dan 31 Mac (295), yang menghimpunkan seramai 2,753 pemegang lesen berkenaan.

“Sekali lagi diingatkan, seperti ketetapan undang-undang, semua pemilik kenderaan perdagangan dan pemilik kenderaan persendirian hendaklah memastikan kenderaan mereka mempunyai perlindungan insurans yang sah sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.