Sikap ambil mudah British terhadap ‘Spanish Flu’ pada 1918 korbankan 35,000

Para saintis bimbang penularan selsema burung yang membunuh kira-kira 40% orang yang dijangkiti. (Gambar AFP)

Peningkatan kes Covid-19 di Malaysia setiap hari sangat membimbangkan apabila di saat pelbagai yang dilakukan kerajaan sebagai usaha untuk memutuskan rantaian penularannya.

Bermula dengan perintah kawalan pergerakan selama 14 hari daripada 18 Mac lalu sehingga 31 Mac kini disambungkan pula untuk 14 hari lagi iaitu sehingga 14 April.

Jika diimbas kembali lebih kurang 102 tahun yang lalu hal yang lebih kurang sama pernah berlaku di Tanah Melayu. Lebih tepat pada 26 Oktober 1918.

Di istana Bukit Chandan, selepas 5 hari gering yang sangat teruk, akhirnya Tuanku Sultan Abdul Jalil Shah, sultan Perak yang ke-29 menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Kemangkatan Sultan Abdul Jalil menjadikan beliau sebagai Sultan paling pendek masa pemerintahannya di negeri Perak, iaitu selama 2 tahun 10 bulan sahaja.

Kemangkatan Sultan Abdul Jalil sangat mengejutkan rakyat jelata, yang sebahagiannya turut derita dengan suatu penyakit aneh yang sedang melanda Tanah Melayu ketika itu.

Apa yang diketahui waktu itu, ramai orang di Pulau Pinang mati akibat selsema, sesak nafas dan demam yang teruk yang kemudiannya merebak ke negeri Perak dan seluruh Tanah Melayu.

Tiada siapa dikalangan pegawai kolonial British mengetahui bencana yang sedang menyerang bakal menjadi serangan wabak paling dahsyat dalam sejarah peradaban manusia.

Disebabkan lambat ambil langkah pencegahan dianggarkan 50 juta penduduk seluruh dunia maut akibat Spanish Flu. (Gambar Univerisity of Melbourne)

Apabila diimbas kembali sejarah, ada kekesalan yang timbul, “Kalau lah kolonial British lebih bersedia dan berwaspada..kalau lah”.

Spanish Flu mula menyerang di Pulau Pinang sekitar Jun 1918.

Pada masa ini aktiviti entreport di negeri selat terutamanya Pulau Pinang berada di kemuncak sebagai platform hubungan sosial, perdagangan, pertukaran budaya dan aktiviti ekonomi.

Tanpa diketahui, peperangan Dunia Pertama yang sedang meletus di hemisfera barat bumi Eropah bukan saja menjadi punca korban nyawa akibat rodokan benet, letupan bom atau bidikan peluru, tetapi yang lebih teruk di situlah punca meletusnya wabak Spanish Flu ibarat pantasnya kelajuan internet masa kini.

Begitulah analoginya betapa pantas Spanish Flu merebak, merobek, membunuh manusia di segenap tanah dan benua tidak terkecuali di Tanah Melayu yang tembus melalui pendaratan kapal stim membawa warga asing masuk ke Pulau Pinang.

Serangan pertama Spanish Flu ini mangsanya hanya cuma puluhan orang penduduk di sekitar Pulau Pinang.

Dalam beberapa minggu Flu ini reda tiba-tiba. Namun orang British ambil mudah, mereka tak tunjukkan ketegasan atau apa jua tindakan drastik seperti ketatkan regulasi kawalan wabak atau menempatkan para doktor dan jururawat ke Negeri Selat.

Bagi British, musuh utama wabak hanyalah cacar, hawar dan kolera. Tiga serangkai wabak ini pernah membunuh 12.5 juta rakyat India di bawah pemerintahan British ketika itu.

Kawasan paling teruk terjejas di Madras dan Calcutta sekitar tahun 1819-1820, yakni 100 tahun sebelum Spanish Flu pula menyerang pada tahun 1918.

Cacar, Hawar dan Kolera ini berlarut puluhan tahun.

Diakui ketika itu British ada buat pusat Kuarantin, dan SOP untuk tangani tularan Cacar, Hawar dan Kolera di Pulau Pinang sejak 1870, tetapi 3 penyakit ini simptomnya sama sekali tak sama dengan pembawa Spanish Flu.

Dengan kata lain, sesiapa sahaja yang masuk ke Pulau Pinang dengan simptom selsema, tiada masalah di mata British.

Ditambah pula dengan kepimpinan yang tak efektif, tiada langkah pencegahan, tiada siasatan mendalam punca dan sebab.

Memandangkan flu sudah reda, mereka yang maut juga berkurangan membuatkan mereka kembali tenang.

Inilah saatnya Spanish Flu terus meletus dan ketika itu gabenor British di Afrika Selatan ada kirim telegram kepada gabenor British di Negeri Selat bagi amaran pasal bahayanya Spanish Flu ini, tetapi tiada tindakan wajar yang diambil.

Padahnya, seawal Oktober 1918 Spanish Flu serang Pulau Pinang untuk kali kedua dan serangan kali ini lebih dahsyat!

Direkodkan seramai 267 orang mati di Hospital Pulau Pinang dalam masa 48 jam.

Serangan itu menyerang, merebak ke serata pelusuk negeri dan kampung membuatkan British tidak mampu untuk mengambil sebarang tindakan proaktif.

Ketika ini rakyat lah yang terpaksa bangkit bantu sesama sendiri apabila pedagang, kumpulan profesional, usahawan bergabung buat gerakan menyelamat.

Sebagai contohnya Lam Wah Ee menderma 18,000 pound sterling untuk salurkan ubat-ubatan dari Eropah ke kampong-kampung.

Tidak kira lah anda Cina, Mamak, Melayu, India semua dapat bantuan. Yang ada pengangkutan, tolong bawa ubat ke rumah pesakit, yang doktor di hospital datang ke rumah tak kira siang malam.

Semua berganding bahu cuba menyelamatkan apa yang boleh diselamatkan.

Namun pada masa itu, semuanya agak terlambat. Spanish Flu menyerang Tanah Melayu selama 41 hari!

Mereka yang terkorban di Pulau Pinang sahaja sebanyak 1,500 orang dan hampir 35,000 di seluruh Tanah Melayu.

Dan dilaporkan Spanish Flu ini mengakibatkan kematian 50 juta orang di seluruh dunia.

Hari ni 102 tahun selepas Spanish Flu, dan 200 tahun selepas cacar, hawar dan kolera, Malaysia menerima pula kunjungan serangan wabak Covid-19.

Kalau 102 tahun dulu masyarakat Tanah Melayu berbilang kaum sudah tunjukkan solidariti untuk bekerjasama, tolong menolong sesama sendiri jadi tidak mustahil generasi kita juga boleh buat benda sama, malahan lebih baik sekiranya keadaan mendesak kelak.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]