China lapor lebih 1,300 kes Covid-19 tanpa simptom

China lapor lebih 1,300 kes Covid-19 tanpa simptom

1,367 pesakit tanpa simptom di bawah pengawasan perubatan, dengan 130 kes baru ditambah pada hari terkahir.

Kes tanpa simptom yang dikesan dan kontak rapat mereka perlu menjalani 14 hari kuarantin berpusat. (Gambar AP)
BEIJING:
China hari ini berkata ia merekodkan lebih 1,300 kes Covid-19 tanpa simptom, kali pertama republik itu mengeluarkan data sedemikian susulan kebimbangan masyarakat terhadap pesakit yang diuji positif tetapi tidak menunjukkan simptom.

Pegawai kesihatan turut melaporkan kes import pertama dari luar negara di Wuhan, meningkatkan kebimbangan terhadap jangkitan yang dibawa ke China dari negara lain.

Daripada 36 kes baru yang dilaporkan pada Rabu, 35 diimport dari luar negara.

Suruhanjaya kesihatan Kebangsaan (NHC) berkata, 1,367 pesakit tanpa simptom di bawah pengawasan perubatan, dengan 130 kes baru ditambah pada hari terkahir.

NHC mengumumkan pada Selasa bahawa ia akan bertindak balas “terhadap kebimbangan awam” dengan mula menerbitkan data harian mengenai kes tanpa simptom, yang dikatakan berjangkit.

Terdapat banyak gesaan dalam talian untuk kerajaan mendedahkan jumlah kes tanpa simptom selepas pihak berkuasa mendedahkan pada hujung minggu bahawa seorang wanita yang dijangkiti di wilayah Henan mempunyai kontak rapat dengan 3 kes tanpa gejala.

Bagaimanapun, kes tanpa simptom tidak ditambah di dalam laporan rasmi melainkan mereka menunjukkan gejala klinikal.

Data mengenai mereka yang dijangkiti tanpa menunjukkan simptom masih belum diterbitkan.

Beijing mengumumkan beberapa langkah dramatik untuk membanteras kemasukan virus ke negara itu dan mengawal kes diimport- termasuk menghalang warga asing memasuki China dan memeriksa mereka yang tiba dari luar negara – menjadikan ia lebih mudah untuk mengesan mereka yang dijangkiti tetapi tidak menunjukkan simptom.

China berkata semua kes tanpa simptom yang dikesan dan kontak terdekat mereka mesti menjalani kuarantin berpusat 14 hari.

Pakar bersetuju pesakit tanpa simptom mungkin berjangkit, tetapi masih tidak diketahui bagaimana mereka menyebarkan virus berbahaya itu.

Pakar respitori China, Zhong Nanshan berkata dalam sidang media minggu lalu setiap pembawa tanpa simptom berpotensi menjangkiti “3 hingga 3.5 orang”.

Banyak negara lain termasuk Korea Selatan dan Jepun merekodkan kes tanpa simptom dalam diagnosis yang disahkan negara mereka.

Terdapat 81,554 jangkitan di China, dengan 3,312 kematian – kebanyakannya tertumpu di pusat jangkitan di Wuhan dan sekitar wilayah Hubei.

Kes import pertama disahkan di Wuhan, seorang warga China yang belajar di Britain, tiba di bandar itu minggu lalu selepas republik itu secara beransur-ansur mula membatalkan sekatan perjalanan yang dikenakan untuk mengawal penularan wabak itu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.