Duterte ugut hantar pengingkar perintah berkurung ke kubur

Ketua Polis Filipina, Archie Gamboa berkata, anggotanya tidak akan menembak mati pengacau seperti diarahkan Presiden Rodrigo Duterte. (Gambar Reuters)

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengarahkan pasukan keselamatan menembak sehingga mati individu yang menimbulkan “masalah” di kawasan perintah berkurung susulan penularan pandemik Covid-19.

Kira-kira separuh daripada 110 juta populasi di negara itu kini di bawah perintah berkurung – termasuk berjuta penduduk di kawasan miskin, yang menyebabkan ramai kehilangan kerja akibat kawalan pergerakan ketat.

Beberapa jam sebelum Duterte memberi arahan itu dalam ucapan pada lewat malam Rabu, hampir 24 orang dari kawasan miskin di Manila ditahan kerana mengadakan protes dengan mendakwa kerajaan gagal memberi bantuan makanan kepada golongan miskin.

“Arahan saya kepada polis dan tentera, juga pegawai kampung, jika timbul masalah atau situasi di mana rakyat melawan dan nyawa anda dalam bahaya, tembak mereka sampai mati.

“Daripada menimbulkan masalah, saya akan hantar anda ke kubur,” kata Duterte sambil menambah penularan virus itu semakin teruk lebih 2 minggu selepas perintah berkurung dikuatkuasakan sejak 15 Mac lalu.

Sebanyak 2,311 kes positif dan 96 kematian dicatatkan di Filipina setakat ini, tetapi jumlah kes jangkitan dijangka terus meningkat kerana negara itu hanya mula mempercepatkan ujian saringan.

Duterte, yang dilantik sebagai presiden selepas memenangi pilihan raya pada 2016, dikenali bermulut cabul dan perang terhadap dadah, disokong ramai rakyat Filipina.

Tetapi, pengkritik mendakwa perang dadah Duterte hanya menyasarkan golongan miskin, bukannya golongan kaya dan berkuasa, serta mengamalkan budaya hukuman.

Kenyataan terbaru presiden itu dikritik kumpulan hak asasi yang menggesa kerajaan menyediakan bantuan amat diperlukan rakyat, bukannya mengeluarkan ugutan.

“Ia amat membimbangkan Presiden Duterte memperluaskan dasar tembak hingga mati…kuasa tanpa disekat tidak patut dijadikan kaedah sebagai tindak balas terhadap kecemasan seperti pandemik Covid-19,” kata Amnesty International Filipina dalam satu kenyataan.

Pegawai kerajaan berkata, Duterte hanya menggunakan kiasan berlebihan untuk menyampaikan mesejnya.

Ketua Polis Negara, Archie Gamboa berkata, anggotanya tidak akan menembak mati pengacau.

“Mungkin presiden terlalu menekankan pelaksanaan undang-undang ketika krisis berlaku.”

Perintah berkurung di Manila menjejaskan 12 juta penduduknya dan menyebabkan kebanyakan aktiviti perniagaan, sosial dan agama dihentikan.