KKM tidak halang individu tiada simptom Covid-19 pakai topeng

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penggunaan terowong sanitasi dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 perlu dikaji keberkesanannya terlebih dahulu. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkenaan penggunaan topeng muka, termasuk bagi individu yang tidak menunjukkan simptom jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun masih menggalakkan pemakaiannya, terutama untuk pekerja kesihatan.

“Kita nasihatkan pegawai untuk pakai penutup mulut dan hidung. Itu saranan kita. Untuk masyarakat umum, jika ada simptom kena pakai penutup mulut dan hidung.

“Persoalannya sekarang perlu ke pakai penutup mulut dan hidung? Jika anda terdedah kepada umum mungkin perlu pakai,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, pemakaian topeng adalah berdasarkan kepada bukti yang terdapat pada ketika ini.

“Kita kena lihat bukti dan adakah kita perlu pakai penutup mulut dan hidung. Kita kena tunggu garis panduan WHO.

Dr Noor Hisham Abdullah

“Tapi kita tidak ada halangan untuk sesiapa sahaja memakai penutup mulut dan hidung jika di kawasan umum,” katanya.

Ditanya mengenai keberkesanan penggunaan terowong sanitasi dalam membasmi virus Covid-19, Noor Hisham berkata, perkara itu perlu dikaji sama ada ia benar-benar berkesan.

“Di Kementerian Kesihatan, kita berdasarkan fakta. Kita perlu lihat penyelidikan untuk tunjukkan sama ada ia berkesan atau tidak. Apakah bahan kimia yang digunakan dan pelbagai lagi.

“Inovasi ini baik, tapi perlu ada penyelidikan sama (mengenainya),” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun mengakui alat itu merupakan satu inovasi yang baik, namun keberkesanannya perlu bersandarkan pada fakta.

Tiada bukti Covid-19 merebak melalui makanan

Dalam perkembangan lain Noor Hisham berkata, setakat ini tiada laporan yang menyatakan wabak Covid-19 boleh merebak melalui makanan.

Ini berikutan kebimbangan susulan beberapa pekerja sebuah restoran menyediakan makanan bawa pulang mendapati seorang pekerjanya positif wabak pembunuh itu.

“Kita belum dengar virus ini merebak melalui makanan, tetapi jika salah seorang pekerja positif Covid-19, maka kita perlu saring kontak rapat di restoran itu,” katanya.

Terdahulu Ikea Tebrau di Johor memaklumkan menutup perkhidmatan makanan bawa pulang buat sementara selepas seorang pekerjanya disahkan positif Covid-19.

Mengulas mengenai kluster himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling, Noor Hisham berkata, KKM mengambil 17,012 sampel setakat ini, dengan 1,591 daripadanya didapati positif Covid-19.

Katanya, 10,912 sampel didapati negatif, manakala 4,500 lagi masih menunggu keputusan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada polis dan jawatankuasa himpunan itu atas kerjasama dalam usaha mengesan dan menggalakkan mereka yang hadir untuk tampil membuat pemeriksaan.

Pada masa sama, beliau berkata, masih ada warga Malaysia yang berada di Sulawesi, India dan Pakistan, sekali gus meminta kerjasama polis dalam usaha mengesan mereka sebaik pulang nanti.

Pertimbang alat pengesan dari China

Noor Hisham berkata pihaknya sedang menimbang untuk mendapatkan peralatan baru dari China yang dapat menjalankan ujian Covid-19 secara automatik bagi meningkatkan tahap kepantasan dan jumlah pengesanan.

“Kita juga sedang melihat teknik baru untuk melakukan ujian PCR (polymerase chain reaction) dengan satu alat yang diimport dari China, yang juga automatik, agar proses dapat dilakukan dengan lebih pantas.

“Mungkin dengan mesin ini, kita dapat lakukan tambahan 5,000 ujian dalam sehari,” katanya.