
Dalam satu notis, setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat berkata, sidang Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 tersebut akan dilangsungkan selama 1 hari saja.
“Susulan daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), maka persidangan Dewan Rakyat akan diadakan bagi membincangkan rang undang-undang dan usul urusan kerajaan sahaja.
“Sehubungan itu, tiada sesi pertanyaan lisan di bawah peraturan Mesyuarat 22 (2) dan 22 (5), pertanyaan bertulis dan usul. Oleh yang demikian, semua pemberitahuan tersebut tidak perlu dihantar untuk mesyuarat ini,” katanya.
Dewan Rakyat dijadual bersidang selama 15 hari bermula 18 Mei selepas ditangguhkan pada 9 Mac berikutan pertukaran kerajaan.
Sementara itu, ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, ahli Parlimen pembangkang terkejut apabila menerima notis memaklumkan hanya 1 hari ditetapkan untuk persidangan.
Beliau menyifatkan perkara itu tidak masuk akal kerana persidangan pertama tahun ini memang ditunggu-tunggu
“Ini sama sekali tidak dapat diterima dan bertentangan dengan konsep demokrasi berparlimen.
“Walaupun terdapat Covid-19, akhir-akhir ini kita melihat bahawa banyak negara seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) mengadakan sesi Parlimen biasa.
“Lebih baik lagi, Korea Selatan mengadakan pilihan raya umum semalam, di bawah sekatan pandemik yang teruk,” katanya.
Beliau mendakwa kerajaan cuba membelakangkan dewan dan “melepaskan” pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM250 bilion tanpa kelulusan Parlimen.