Dr Noor Hisham minta rakyat duduk di rumah sebagai hadiah hari jadi

Dr Noor Hisham minta rakyat duduk di rumah sebagai hadiah hari jadi

Noor Hisham juga meminta orang ramai mengamalkan tahap penjagaan kebersihan paling tinggi bagi menghindari jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta rakyat Malaysia terus duduk di rumah bagi mematahkan rangkaian jangkitan Covid-19 sebagai hadiah istimewa hari jadinya ke 57 esok.
PETALING JAYA:
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah meminta rakyat Malaysia supaya duduk di rumah sebagai hadiah paling istimewa sempena hari jadinya esok.

Beliau juga meminta orang ramai mengamalkan penjagaan kebersihan paling tinggi bagi menghindari jangkitan Covid-19.

“Sempena hari jadi saya pada esok (iaitu) pada 21 April, hadiah paling istimewa untuk saya adalah rakyat Malaysia kekal duduk di rumah dan amalkan kebersihan yang tinggi,” katanya dalam satu rakaman video di Bernama TV malam ini.

Ketua pengarah kesihatan itu, yang menjadi tumpuan media dan rakyat Malaysia sejak wabak Covid-19 melanda, genap usianya 57 tahun pada Selasa, 21 April.

Setiap hari, Noor Hisham akan muncul di kaca televisyen pada 5 petang dan sentiasa dinanti-nantikan bagi mendapatkan maklumat mutakhir Covid-19 dan hal berkaitan wabak itu.

Noor Hisham merupakan anak kelahiran Sepang, Selangor. Beliau dilahirkan pada 21 April 1963.

Pada 16 April, rangkaian Televisyen China Global (CGTN) nenamakan Noor Hisham sebagai 3 doktor terbaik dunia dalam kalangan pegawai kesihatan awam yang mengendalikan Covid-19 bersama Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat (AS) and Ashley Bloomfield dari New Zealand.

Dalam laman webnya kelmarin, CGTN memilih beliau antara doktor terbaik di dunia kerana pendekatan berterus terang dan tenangnya dalam mengendalikan krisis Covid-19 di Malaysia.

Menurut CGTN, beberapa bulan lepas, tidak ramai yang mengenali Noor Hisham dan 2 lagi tokoh lain itu, tetapi kini mereka menjadi sumber maklumat dan fakta paling “dipercayai” bagi pandemik itu di negara masing-masing.

Noor Hisham, yang juga pakar bedah, berkelulusan ijazah sarjana dalam bidang surgeri dan ijazah doktor perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau dilantik sebagai ketua pengarah kesihatan pada 1 Mac 2013 menggantikan Dr Hasan Abdul Rahman.

Terdahulu hari ini, beliau mengumumkan angka jangkitan baru terendah sejak 12 Mac lepas dengan 36 kes dan tiada kematian dilaporkan.

https://www.facebook.com/BernamaTV/videos/514825552520839/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.