
Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata sumbangan Program Bantuan Selangor Prihatin, seperti beras, minyak, gula, dan tepung, akan memberi manfaat kepada 2,632 keluarga di PPR Kampung Baru Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Serendah dan Council Homes Bandar Baru Bangi.
Kos setiap set bantuan dianggarkan RM50, dan program itu merupakan kerjasama antara kerajaan negeri, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan Perumahan Hartanah Selangor Sdn Bhd.
“Sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan berikutan penularan wabak Covid-19, terdapat banyak keluarga terjejas pendapatannya terutama golongan B40 termasuk penyewa PPR dan Council Homes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan negeri mula mengedarkan 980 set bantuan kepada warga PPR Kampung Baru Hicom hari ini. Pengedaran bantuan ke rumah pangsa lain akan dilakukan dalam hari-hari akan datang.
FMT baru-baru ini menemubual penduduk PPR Kota Damansara yang terkurung kerana PKP, mengadu tentang susah payah untuk memastikan ada makanan atas meja ketika ramai daripada mereka diberhentikan atau tidak mampu bekerja.