Perbicaraan SRC Najib ditunda lagi akibat PKP

Pembelaan Najib Razak dalam perbicaraan SRC International selama 33 hari berakhir 11 Mac lalu.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi sekali lagi menangguhkan tarikh penghujahan bagi perbicaraan rasuah dan pengubahan wang SRC International Najib Razak akibat lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam satu e-mel kepada pihak terbabit semalam, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menetapkan tarikh baru bagi mendengar penghujahan bertulis dan lisan.

Penghujahan bertulis perlu dikemukakan menjelang 5 Mei, dengan pihak pendakwaan diminta membalasnya pada 19 Mei.

Nazlan turut menetapkan pendengaran untuk penghujahan lisan selama 3 hari bermula 1 Jun nanti.

FMT difahamkan daripada Jabatan Peguam Negara yang tarikh penghujahan lisan awal pada 18 dan 20 Mei sudah dikosongkan.

Difahamkan, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib menulis kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mahyudin Mohd Som pada 21 April lalu untuk meminta lanjutan itu.

“Pihak pendakwaan membantah dan tarikh pada Mei dikekalkan,” kata sumber di Jabatan Peguam Negara kepada FMT.

Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Bekas perdana menteri itu turut berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang dan 3 pertuduhan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaun peribadinya.

Beliau diarahkan membela diri pada 11 Nov lalu. Pembelaannya selama 33 hari berakhir 11 Mac lalu.

Perbicaraan bermula 3 April 2019 dengan 57 saksi pendakwaan dipanggil.