Doktor sedia umum kematian saya selepas dibawa ke ICU, kata PM UK

Doktor sedia umum kematian saya selepas dibawa ke ICU, kata PM UK

Boris Johnson pada mulanya 'dalam penafian' mengenai keadaannya dan tidak mahu pergi ke hospital, tetapi dipaksa doktor yang berkeras tahap oksigennya rendah.

Boris Johnson mengumumkan beliau dijangkiti Covid-19 pada 27 Mac lalu, tetapi bertegas beliau hanya mempunyai gejala ringan. (Gambar AP)
LONDON:
Boris Johnson berkata, doktor yang merawatnya untuk jangkitan Covid-19 bersiap sedia mengumumkan kematiannya selepas perdana menteri Britain itu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Ia adalah saat sukar, saya tidak nafikannya,” katanya dipetik akhbar The Sun pada Ahad dalam komen terperinci pertamanya mengenai penyakit itu.

“Mereka mempunyai strategi untuk tangani senario seperti ‘Death of Stalin’ (filem komedi pahit).

“Saya tidak berada dalam keadaan baik dan saya sedar ada rancangan luar jangkaan. Doktor mempunyai pelbagai cara untuk melakukan apa yang perlu jika keadaan bertambah teruk.”

Johnson, 55, pertama kali mengumumkan beliau dijangkiti Covid-19 pada 27 Mac lalu, tetapi bertegas beliau hanya mempunyai gejala ringan.

Bagaimanapun, keadaan tidak berubah selepas mengasingkan diri selama seminggu.

Beliau dimasukkan ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga pada 5 April lalu untuk menjalani ujian lanjut, tetapi dipindahkan ke ICU dalam tempoh 24 jam.

Pemimpin Parti Konservatif itu menerima “bantuan oksigen” selama 3 hari dan mengakui selepas keluar dari hospital pada 12 April lalu, pertarungannya dengan virus itu “mungkin berlaku sebaliknya”.

Walaupun memberitahu akhbar itu beliau pernah terfikir “bagaimana saya akan pulih?”, tetapi beliau tidak pernah fikir dirinya akan mati.

Johnson, yang kembali bertugas Isnin lalu dan menjadi bapa semula selepas tunangnya, Carrie Symonds bersalin Rabu lalu, berkata beliau diberikan “berliter-liter” oksigen di hospital.

Katanya, beliau kecewa tidak bertambah sihat, tetapi realitinya muncul apabila doktor mempertimbang untuk melakukan intubasi dan memberinya ventilator.

Johnson berulang kali mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) yang merawatnya.

Beliau menamakan anaknya Wilfred Lawrie Nicholas Johnson susulan 2 doktor yang mengetuai rawatannya – Dr Nick Price dan Nick Hart, kedua-duanya pakar dalam penyakit berjangkit serta pengudaraan.

The Sun pada Ahad melaporkan Johnson beremosi ketika mengimbau rawatan dan pemulihannya yang disifatkan “perkara luar biasa”.

Katanya, beliau pada mulanya “dalam penafian” mengenai keseriusan keadaan sendiri kerana beliau terus bekerja walaupun berasa “agak pening”.

Johnson berkata, beliau tidak mahu pergi ke hospital pada mulanya, tetapi doktor berkeras kerana tahap oksigennya rendah.

“Melihat kembali, mereka bertindak betul dengan memaksa saya pergi (ke hospital).”

Johnson berkata, pengalaman itu membuatkan beliau lebih bertekad untuk melawan penyakit itu dan menjadikan negaranya kembali seperti dahulu.

Kenyataannya menyusul pengumuman 621 kematian baru Covid-19, menjadikan keseluruhan angka korban meningkat kepada 28,131 orang – hanya selepas negara paling teruk terjejas di Eropah, Itali.

Katanya, beliau akan mengumumkan rancangan ke arah melonggarkan sekatan yang dilaksanakan sejak akhir Mac lalu pada minggu depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.