
Seolah berada dalam dunia fantasi sebaik terlihat robot digunakan untuk menghantar makanan serta kamera berkawal di pintu.
Itulah pendekatan yang digunakan China ketika menguruskan pusat kuarantin wabak Covid-19 di salah sebuah hotel di Beijing.
Robot berkenaan kelihatan umpama lembaga lengkap berpakaian Hazmat (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya).
Pihak berkuasa mengambil langkah drastik untuk memastikan orang ramai tidak melanggar peraturan pengasingan selepas ia berjaya mengawal pandemik itu yang melumpuhkan negara selama berbulan-bulan.
Pelancong yang baru tiba diharuskan tinggal di rumah atau di hotel yang ditentukan selama 14 hari berikutan kes import menjadi ancaman kepada kemajuan dan pembangunan negara itu.
Beijing melonggarkan peraturan di ibu negara minggu ini, kecuali terhadap mereka yang tiba dari luar negara dan Hubei, iaitu wilayah di mana virus itu pertama kali muncul akhir tahun lalu.
Sebuah hotel yang dijadikan pusat kuarantin di Beijing meletakkan seorang pengawal di setiap tingkat untuk memantau semua pergerakan.
Sementara itu, robot berbentuk silinder setinggi tiga kaki menyampaikan botol air, makanan dan bungkusan kepada tetamu hotel.
Ia juga boleh menaiki lif dan mencari jalan sendiri untuk mengurangkan hubungan dengan tetamu dan kakitangan manusia.
Apabila tiba di tempat tujuannya, ia akan menelefon tetamu di dalam bilik dengan suara yang aneh seperti kanak-kanak;
“Hello, ini adalah robot perkhidmatan anda. Pesanan anda sudah tiba di luar bilik anda.
“Perutnya terbuka bagi membolehkan tetamu mengambil barang penghantaran sebelum robot berpusing dan berlalu pergi.
Doktor dengan pakaian Hazmat pergi ke setiap bilik untuk mengingatkan penghuni supaya mengambil suhu dan bertanya sama ada mereka mempunyai gejala.
Penduduk yang dikuarantin di kawasan lain di bandar itu memasang penggera elektronik di pintu mereka.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]